Khamis, 3 Mei 2018 | 6:47pm
MOHAMAD Kassim menunjukkan rumah beliau yang dibadai ribut di Kampung Tebuk Panchor, Bagan Serai. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
CALON BN Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (kiri) meninjau keadaan rumah Mohamad Kassim (kanan) yang dibadai ribut semalam. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

15 rumah rosak dilanda ribut

BAGAN SERAI: "Ketika saya sedang berehat tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum bumbung rumah tercabut diterbangkan ribut," kata Mohamad Kassim Abdullah, 50, penduduk Kampung Tebuk Panchor, di sini yang kediamannya rosak akibat kejadian ribut petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, 14 rumah penduduk lain turut rosak dilanda ribut dan kediaman Mohammad Kassim antara yang teruk terjejas.

Menceritakan detik cemas yang berlaku, Mohammad Kassim berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak dan isteri serta dua bayi berada dalam rumah.

"Ketika itu saya sedang berehat bersama dua anak, manakala isteri Maznah Sazili, 46, sedang mengasuh dua anak jiran berusia dua tahun dan tiga bulan.

"Waktu itu hujan lebat disusuli angin kencang, tiba-tiba kami terkejut mendengar bunyi seperti letupan di bahagian bumbung rumah... tidak lama kemudian, kelihatan air hujan menitis menembusi siling rumah.

"Saya dan anak keluar rumah dan terkejut apabila mendapati bumbung rumah yang baharu ditukar beberapa bulan lalu musnah diterbangkan angin," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku terhadap ahli keluarganya serta anak jagaan, namun mengalami kerugian kira-kira RM4,000 berikutan bahagian bumbung rosak.

Kejadian itu turut mendapat simpati dua calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Adam Asmuni yang turut hadir menziarah kesemua penduduk yang menjadi mangsa ribut berkenaan.

Berita Harian X