Sabtu, 14 April 2018 | 3:28pm
IBU tunggal, Shafarina Mohd Nasir, 31, bersama anaknya, Nur Ain Kaisara Abdul Fatah, 2, di rumahnya di Taman Cengal, Seremban. - Foto Mohd Khidir Zakaria

'Biarlah orang pandang hina...'

SEREMBAN: Seorang ibu tunggal sanggup menempuh 10 kilometer (km) setiap hari bagi mencari kotak dan barangan kitar semula untuk dijual semata-mata bagi mendapatkan wang membeli susu anaknya.

Setiap kali keluar mencari barang terbuang, Shafarina Mohd Nasir, 31, membawa anaknya, Nur Ain Kaisara Abdul Fatah, 2, dalam kereta sorong bayi.

Dua beranak itu tinggal di rumah ibu angkat Shafarina di Taman Cengal di sini, sejak tiga bulan lalu.

"Saya keluar rumah jam 8 pagi dan pulang selepas mendapat kotak atau barangan kitar semula yang boleh dijual. Duit itu saya guna beli makanan dan susu anak.

"Ada hari saya cuma mendapat RM3.60 selepas dua hari mengumpul barangan kitar semula, malah saya pernah ditipu pembeli barang kitar semula dengan bayaran murah.

SETIAUSAHA PERKASIH N9, Norfadilah Mansor (kiri) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada ibu tunggal, Shafarina Mohd Nasir, 31, di rumahnya di Taman Cengal, Seremban. - Foto Mohd Khidir Zakaria

"Saya reda dan percaya pada rezeki Allah," katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumah ibu angkatnya di sini, hari ini.

Shafarina sukar mendapat pekerjaan lain kerana tiada siapa boleh menjaga anaknya.

Walaupun sedar ada yang memandang hina, beliau tidak malu melakukan pekerjaan itu kerana mencari wang sendiri.

"Saya lakukan ini demi anak. Kaisara menjadikan saya lebih kuat dan saya tidak menyesali keadaan ini.

"Saya cuma berharap ada peluang pekerjaan yang membolehkan saya membawa anak dan pada masa sama mempunyai rumah sendiri untuk berteduh," katanya yang tidak pernah memohon bantuan kerana tidak tahu cara berbuat demikian.

Sementara itu, Setiausaha PERKASIH N9, Norfadilah Mansor, berkata pihaknya akan membantu mencarikan pekerjaan dan tempat tinggal untuk dua beranak itu.

Beliau juga akan merujuk kes wanita itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan mengikut kelayakan.

Berita Harian X