Ahad, 8 April 2018 | 3:23pm
PRESIDEN Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Hussin Basir.

Penggunaan bahasa Inggeris tambah nilai anak Sabah

KOTA KINABALU: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar yang akan dimulakan di Sabah dan Sarawak, mampu melahirkan lebih ramai modal insan yang menguasai bahasa antarabangsa itu.

Presiden Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Hussin Basir, berkata ia juga membolehkan pelajar dari Sabah khususnya meneroka bidang pendidikan lebih jauh dan berdaya saing.

"Contohnya, pelajar mampu belajar dan menimba pengalaman bekerja di luar negara sebelum kembali ke tanah air. KGKS percaya ia dapat dilaksanakan dengan bantuan guru bahasa Inggeris serta kemudahan pendidikan yang mencukupi.

"Bukan hanya di sekolah rendah atau menengah, malah di universiti pun kebanyakannya (proses pembelajaran) menggunakan bahasa Inggeris. Oleh itu, jika mahu pergi jauh, kita perlu menguasai bahasa Inggeris," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika menyatakan akujanji keempat khusus untuk Sabah Sarawak sempena pelancaran Manifesto BN, berkata kerajaan BN akan memulakan projek perintis sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Sabah dan Sarawak, tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan.

Najib berkata, ia adalah kehendak kerajaan kedua-dua negeri, selain BN sudah melaksanakan nisbah guru di Sabah dan Sarawak hendaklah 90 peratus anak tempatan dan 10 peratus dari Semenanjung, dengan kini ia sudah mencapai 87 peratus bagi kedua-dua negeri.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan sekolah kerajaan aliran Inggeris diwujudkan semula di Sabah bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar.

Hussin berkata, penguasaan bahasa Inggeris perlu diteruskan di negeri ini kerana ada pelajar lepasan universiti gagal berdaya saing berikutan kurangnya penguasaan bahasa berkenaan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menepati janji dalam pelaksanaan nisbah 90:10 guru di Sabah.

Berita Harian X