Khamis, 5 April 2018 | 1:46pm
GAJAH betina yang ditangkap di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kuala Medang dipindahkan ke kawasan hutan Sungai Deka, Terengganu. - Foto Mohd Rafi Mamat

Empat jam tangkap, pindahkan gajah betina

LIPIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengambil masa lebih empat jam untuk memindahkan gajah betina yang ditangkap di kawasan ladang projek tanaman nangka madu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kuala Medang, di sini, kelmarin.

Operasi dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Lanchang, Temerloh dibantu dua gajah denak Rambai dan Abot bersama 20 kakitangan bermula 9 pagi dan berjalan lancar.

Pengarahnya, Ahmad Azhar Mohammed berkata, haiwan berumur antara 25 hingga 30 tahun dengan berat antara 1.5 hingga dua tan itu dipindahkan ke kawasan hutan semulajadi Sungai Deka, Terengganu.

Beliau berkata, pengalaman luas kakitangan PKGK dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pahang membolehkan operasi memindahkan gajah betina itu berjalan lancar mengikut apa dirancang.

"Ancaman gajah di Kuala Medang berlaku sejak Disember tahun lalu namun usaha menangkap haiwan terbabit sebelum ini gagal apabila ia bersembunyi dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai.

"Operasi menangkap kumpulan enam hingga lapan gajah yang bersembunyi di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai ditangguhkan selepas haiwan terbabit tidak lagi muncul di projek tanaman nangka madu TKPM Kuala Medang," katanya, di sini, hari ini.

Semalam, akhbar NSTP melaporkan seekor gajah betina ditangkap di Kuala Medang, di sini, selepas memusnahkan tanaman pekebun di TKPM Kuala Medang, di sini, Isnin lalu.

Ahmad Azhar berkata, pihaknya akan menyambung operasi menangkap kumpulan gajah terbabit jika kembali menyerang dan memusnahkan tanaman penduduk setempat terutama pokok nangka madu di TKPM Kuala Medang.

"Kita simpati dengan masalah yang dihadapi pekebun terutama membabitkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung sejak beberapa bulan lalu," katanya yang akan terus memantau ancaman gajah di Kuala Medang.

Sementara itu pekebun nangka madu, Rosdi Salleh, 52, yang 16 pokoknya musnah dirosakkan haiwan liar itu berkata, mereka berharap PERHILITAN dapat terus memberi perhatian terhadap ancaman gajah kerana ia menyebabkan kerugian besar kepada pemilik kebun.

"Lebih 200 pokok nangka madu yang sedang berbuah di TKPM Kuala Medang musnah, pelbagai usaha dilakukan sebelum ini bagi menghalau kumpulan gajah terbabit yang menyerang pada waktu malam.

"Saya bagi pihak pekebun mengucapkan terima kasih kepada PERHILITAN yang berjaya menangkap dan memindahkan gajah yang sebelum ini memusnahkan tanaman nangka kami," katanya.

78 dibaca
Berita Harian X