Selasa, 3 April 2018 | 3:58pm
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Rustam merasmikan Pejabat PUNB Cawangan Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

PUNB tawar tempoh pembiayaan 10 tahun

SEREMBAN: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan lanjutan tempoh sehingga 10 tahun bagi pembayaran semua skim pembiayaannya, berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata usahawan yang sudah membuat pembiayaan sebelum ini, boleh menghantar permohonan untuk melanjutkan tempoh pembayaran.

Katanya, bagi usahawan yang membuat permohonan pembiayaan baharu, mereka secara automatik menikmati tempoh pembayaran sehingga 10 tahun, bermula bulan lalu.

"Tempoh pembayaran lebih panjang ditawarkan bagi memberi peluang kepada usahawan membuat bayaran bulanan lebih rendah, selain mahu meringankan komitmen mereka.

"Tawaran ini terbuka kepada semua usahawan yang membuat pinjaman mana-mana skim pembiayaan PUNB," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat PUNB Cawangan Negeri Sembilan dan Pelancaran Buku Kejayaan 50 Usahawan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pembukaan cawangan PUNB ke-14 di negeri ini yang mula beroperasi sejak 1 Disember 2017 lalu, memudah dan menjimatkan masa usahawan dari negeri ini untuk berurusan.

Katanya, sebelum ini, setiap bulan kira-kira 50 usahawan dari negeri ini, terpaksa ke cawangan PUNB di Melaka atau Kuala Lumpur untuk menjalankan urusan.

"Pembukaan cawangan baharu ini diharap dapat memberi banyak manfaat kepada usahawan Bumiputera, terutama membabitkan permohonan pembiayaan.

"Ini kerana setiap permohonan pembiayaan yang layak, kini boleh diproses di cawangan sebelum dihantar ke ibu pejabat untuk proses kelulusan, sekali gus mempercepatkan usahawan menerima pembiayaan," katanya.

Mohd Ali berkata, bulan ini PUNB turut membuka sebuah cawangan di Kangar, Perlis dan lima cawangan tambahan di Kedah, Perak, Sabah, Sarawak dan Kelantan.

Berita Harian X