Rabu, 28 March 2018 | 2:40pm
SAZALI (empat dari kiri) bergambar beramai selepas Majlis Pelancaran Gerakan Wanita Anti Rasuah (G-WAR) kerjasama antara SPRM dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah di Wisma Wanita, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

G-War Sabah bantu SPRM cegah rasuah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini melancarkan Gerakan Wanita Anti Rasuah (G-WAR) dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.

Gerakan itu antara lain mengiktiraf fungsi golongan wanita yang ada pengaruh dalam keluarga dan masyarakat bagi membimbing ahli keluarga serta komuniti untuk menjauhi rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata selain menggalakkan pembabitan wanita dalam usaha membanteras rasuah, G-War diwujudkan antara lain bagi mengakui kepentingan fungsi wanita sebagai isteri, ibu dan kakak yang mengetuai institusi keluarga dan berpengaruh dalam masyarakat.

Katanya, wanita tidak seharusnya menganggap diri mereka lemah, sebaliknya boleh membawa perubahan bukan sahaja kepada keluarga, malah negara.

"Setiap wanita perlu membimbing suami dan ahli keluarga mereka supaya menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya ketika melancarkan G-War di sini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah, Hasnah Matsalleh dan ikon G-War Sabah, Michelle Koh.

Sazali berkata, walaupun kes pembabitan wanita dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih kurang berbanding lelaki, sehingga kini sebanyak 700 kertas siasatan dibuka membabitkan wanita di seluruh negara dengan 183 dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Koh berkata, beliau terharu dipilih sebagai ikon G-War dan mengakui orang awam boleh bekerjasama dengan SPRM untuk memerangi rasuah.

Dalam perkembangan berkaitan, Sazali berkata, seramai 12,500 orang mendaftar sebagai ahli Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) di Sabah sejak ia dilancarkan pada Ogos lalu.

"GERAH dilancarkan untuk menggalakkan masyarakat memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Setakat hari ini, seramai 160,000 sudah mendaftar di seluruh negara dengan kira-kira 60,000 daripadanya adalah wanita," katanya.

Berita Harian X