Ahad, 25 March 2018 | 2:49pm
PENGERUSI Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Sistem baharu Haji Pintar beri kepuasan jemaah

KUALA LUMPUR: Sistem Haji Pintar yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi bagi jemaah haji dan umrah bukan saja mampu memberi kemudahan menjalani ibadah, tetapi juga memberi kepuasan dengan pelbagai inisiatif dibangunkan Kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pihaknya memberi penghormatan terhadap usaha terbabit dan pendekatan diambil Kerajaan Arab Saudi demi menjaga kepentingan jemaah.

Katanya, ramai pihak menanti penambahbaikan semua aspek dan ini tentunya satu perkhabaran yang sangat menggembirakan.

"Peningkatan perkhidmatan haji dan umrah ini sering ditunggu-tunggu sejak sekian lama dan alhamdulilah, ia sudah dinaik taraf dengan pelbagai teknologi baharu.

"Ini satu petanda baik, apabila Kerajaan Arab Saudi memberi perhatian khusus terhadap ibadah haji dan umrah, sekali gus ia juga bagus terhadap industri terbabit," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Dalam satu wawancara eksklusif NSTP bersama Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah Suliman Mashat, semalam, beliau menyatakan mengenai kepelbagaian inisiatif kerajaannya termasuk Smart Haj atau Haji Pintar.

Beliau yang juga Pemangku Menteri Haji dan Umrah berkata, menerusi Haji Pintar masa menunggu akan dipendekkan dan mulai tahun ini, beberapa proses baharu akan dilaksanakan.

Ini termasuk sistem berteknologi tinggi terkini bagi pelepasan imigresen di lapangan terbang yang mengurangkan masa menunggu dari dua jam seperti sekarang kepada 10 minit dan pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di pintu elektronik, bagi membolehkan jemaah menaiki bas serta kereta api ke hotel.

Selain itu, lapangan terbang baharu Jeddah akan dibuka selepas Ramadan, manakala perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi 'Ekspres Haramain' menghubungkan Madinah dan Makkah dalam tempoh kurang dua jam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu, berkata usaha Kerajaan Arab Saudi ini membantu melancarkan proses ibadah berjuta jemaah dari seluruh dunia.

Katanya, ini mungkin rentetan daripada program perintis membabitkan Malaysia dan beberapa negara luar bagi sistem e-Haj, yang banyak melancarkan proses ibadah haji dan umrah bagi pengendali serta jemaah sendiri.

"Matlamat mereka untuk tambah bilangan jemaah dan memendekkan urusan kemasukan ke Arab Saudi ini cukup melegakan ramai pihak.

"Selepas ini kita akan dapat melihat proses haji dan umrah yang lebih efisien serta pengurus jemaah juga lebih teratur dan sistematik," katanya.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah pula berkata, sudah tiba masanya sistem lama dikemas kini kepada baharu dan berteknologi tinggi bagi menjimatkan masa serta tenaga jemaah haji dan umrah.

"Selepas ini, masyarakat Islam tidak akan dipandang rendah kerana kelemahan sistem. Saya yakin, kemudahan ini juga memberi kepuasan kepada jemaah dan pengendali haji serta umrah kerana tidak perlu menunggu lama dan beratur panjang, kerana ia menjemukan," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X