Sabtu, 24 March 2018 | 5:23pm

12 rumah dibadai ribut

KEPALA BATAS: "Hanya dalam tempoh lima minit, habis bumbung rumah ini diterbangkan angin," kata penduduk, Mohd Jeffery Awang, 43, mengenai kejadian ribut yang melanda Kampung Guar Kepah, di sini, petang semalam.

Mohd Jeffery berkata, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan mujur dia berada bersama ibunya ketika insiden berkenaan.

"Angin kencang berlaku antara jam 5.15 petang dan lima minit kemudian terus habis bumbung rumah ini tercabut disertai dengan hujan lebat.

"Saya sepatutnya kena pergi kerja di kedai adik dan nasib baik belum keluar lagi kerana perlu menyelamatkan ibu ke tempat lain sebelum keadaan kembali pulih," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kira-kira 12 rumah dan stor penduduk di sini dilaporkan mengalami kerosakan selepas dipukul ribut.

Zambri Che Omar, 40, pula berkata kejadian berkenaan bukan kali pertama dihadapi penduduk dan bersyukur tiada kemalangan mahupun kecederaan berlaku.

"Ketika kejadian kebanyakan penduduk berada di dalam rumah, tambahan pula ia berlaku selepas solat asar.

"Nasib kejadian ini tidak terlalu serius dan paling penting tiada perkara tidak diingini berlaku,"katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata hujan berserta angin kencang menyebabkan beberapa bumbung rumah penduduk tercabut.

"Kejadian ribut dan hujan lebat di kawasan itu dikatakan berlaku dalam tempoh tiga jam dengan mangsa yang terlibat terdiri daripada 56 orang," katanya.

HAMPIR 20 buah rumah penduduk yang rosak teruk selepas bumbung diterbangkan angin ribut di Kampung Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang, dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, Jumaat. - Foto Amir Irsyad Omar
PENDUDUK Kampung Guar Kepah, Penaga melihat persekitaran salah sebuah daripada 17 buah rumah yang rosak akibat dilanda ribut kira-kira 5 petang. - Foto BERNAMA
HAMPIR 20 buah rumah penduduk yang rosak teruk selepas bumbung diterbangkan angin ribut di Kampung Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang, dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, Jumaat. - Foto Amir Irsyad Omar
ZULHAKIM Ibrahim, 28, (kanan) dibantu rakan mengangkat barang-barang yang masih boleh digunakan selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin ribut di Kampung Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Hampir 20 buah rumah penduduk rosak teruk dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, Jumaat. - Foto Amir Irsyad Omar
Berita Harian X