Rabu, 21 March 2018 | 1:17pm

Lima jam tahan sakit kerana cincin perak

JASIN: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan selama lebih lima jam apabila cincin yang dipakainya tidak dapat ditanggalkan, dalam kejadian pagi semalam.

Akibat kejadian itu, jari tengah sebelah kiri wanita berusia 41 tahun itu membengkak menyebabkan dia terpaksa bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital Jasin, di sini, bagi mendapatkan bantuan mengeluarkan cincin perak berkenaan.

Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba, Azizul Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari pihak hospital kira-kira jam 6.45 pagi sebelum empat anggota bergegas ke hospital berkenaan.

"Difahamkan pada malam kejadian, mangsa hanya mahu mencuba cincin perak anaknya tetapi selepas dipakai ia gagal ditanggalkan.

"Mangsa dilaporkan sudah mencuba pelbagai cara untuk menanggalkan cincin berkenaan, termasuk menggunakan sabun tetapi masih tidak berjaya," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong cincin berkenaan.

"Mujur jarinya tidak melecet hanya membengkak dan kami menggunakan alat khas pemotong cincin," katanya.

Berita Harian X