Selasa, 6 March 2018 | 2:50pm
PENGERUSI MATTA Johor Chapter, Kathryn Lee Hwee Ching (tengah) ketika sidang media ekspo pelancongan Matta Fair yang akan diadakan di Expo@Danga City Mall, di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Sasar raih RM13.5j pada ekspo pelancongan

JOHOR BAHRU: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor menyasar jualan pakej pelancongan kira-kira RM13.5 juta sempena ekspo pelancongan yang akan diadakan di Tingkat Bawah di Expo@Danga City Mall, dekat sini, pada 6 hingga 8 April depan.

Pengerusi MATTA Johor Chapter, Kathryn Lee, berkata sasaran itu dijangka mampu dicapai berikutan pembukaan laluan penerbangan terus termasuk ke Macau dan Korea Selatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, sekali gus menggalakkan lebih banyak aktiviti pelancongan.

Katanya, ekspo pelancongan yang diadakan itu turut menyasarkan kehadiran lebih 12,000 pengunjung membabitkan penyertaan lebih 125 gerai pameran.

"Pameran yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan dalam dan luar negara pada kali ini membabitkan 34 pelbagai syarikat berkaitan pelancongan termasuk ejen pelancongan, hotel dan taman tema yang menawarkan pelbagai pakej jualan dengan harga berpatutan.

"Pihak kami mendapati kebanyakan orang ramai bersama keluarga mereka cenderung memilih lokasi di Korea, China, Taiwan dan Jepun sebagai destinasi utama pelancongan, berbanding mereka yang melancong secara individu pula akan memilih ke negara Eropah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Bendahari Kehormat MATTA Johor Chapter, Charlie Chia.

Katanya, bagi setiap pembelian pakej pelancongan berjumlah RM500 ke atas sepanjang ekspo berlangsung dan bayaran kemasukan RM3 bagi dewasa, pengunjung layak memenangi cabutan bertuah utama termasuk baucar pelancongan bernilai RM88,888.

Beliau berkata, ekspo pelancongan terbabit akan diteruskan penganjurannya di Batu Pahat Summit Mall, di sini pada 28 dan 29 Julai depan dan setakat ini pihaknya masih merancang bagi menetapkan beberapa lokasi bersesuaian untuk ekspo seterusnya yang dijangka diadakan pada 3 hingga 5 Ogos depan.

Berita Harian X