Isnin, 5 March 2018 | 3:06pm
PEKERJA SWCorp membersihkan kawasan sampah yang bertaburan di luar tong sampah di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Masalah sampah bertaburan selesai

cnews.nstp.com.my

Port Dickson: SWM Environment Sdn Bhd (SWCorp) mengambil tindakan serta-merta menangani isu sampah bertaburan di luar tong sampah yang menjadi rungutan penduduk di Kampung Sri Parit, Lukut di sini, kelmarin.

Tinjauan wartawan NSTP mendapati kawasan longgokan sampah di dua lokasi tempat pembuangan tong sampah komunal yang disediakan SWCorp di kampung itu, sudah dibersihkan.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Zainal Fitri Ahmad, berkata perkhidmatan kutipan sisa pepejal tong komunal bagi penduduk Kampung Sri Parit dijalankan enam kali seminggu oleh pihak SWCorp.

"Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, setiap rumah akan dibekalkan tong sampah individu 120 L. Tong sampah berpusat seperti sebelum ini kurang sesuai kerana janaan sampah yang tinggi oleh penduduk menyumbang ketidakselesaan orang ramai.

"Justeru, penduduk dinasihatkan meningkatkan amalan kitar semula bagi mengurangkan janaan sisa pepejal," katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar Harian Metro dan BH Online semalam melaporkan rungutan penduduk mengenai sampah bertaburan di luar tong sampah kerana tidak dikutip pihak SWCorp sehingga menyebabkan penduduk di Kampung Sri Parit berasa tidak selesa.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasim, berkata selepas ini majlis akan mengarahkan SWCorp menukar sistem tong pukal berpusat seperti ini kepada tong sampah individu.

"Difahamkan ada sebahagian sampah datangnya dari kawasan luar operasi (orang luar kampung) yang dibuang di sini.

"Mereka mengambil jalan mudah dengan mencampak sampah dari kereta atau motosikal sahaja dan akhirnya sampah bertaburan tidak masuk ke dalam tong sampah.

"Selepas ini MPPD akan memantau selang dua hari sekali operasi SWCorp dalam sistem pungutan sampah di kawasan itu," katanya yang turut membuat lawatan di kampung berkenaan.

Keterangan Gambar

1. PORT DICKSON 5 MARCH 2015. Keadaan kawasan sampah yang bertaburan selepas menimbulkan ketidakselesaan penduduk sudah dibersihkan oleh pihak SWCorp di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson. STR/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Berita Harian X