Ahad, 4 March 2018 | 4:17pm
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan Dewan Serbaguna Dato Sri Wan Junaidi Kampung Tabuan Lot di Kuching, hari ini. - Foto Mohd Aidil Abdullah

Peruntukan bina tebatan banjir di Kuching, Sibu diluluskan

KUCHING: Dua projek berimpak tinggi membabitkan rancangan tebatan banjir di Kuching dan Sibu akan dilancarkan dalam masa terdekat membabitkan peruntukan sebanyak RM250 juta.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata peruntukan berkenaan sudah diluluskan bagi menangani masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan rendah di kedua-dua Bahagian berkenaan dengan Kuching menerima RM150 juta, manakala Sibu menerima RM100 juta.

Katanya, penyelesaian kepada masalah perparitan sebenarnya berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bukan kementeriannya.

"Pelaksanaan projek tebatan banjir adalah atas arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), agar kementerian saya membantu kerajaan negeri dan PBT menangani masalah banjir kilat yang dihadapi di dua bahagian ini, walaupun perlu menanggung kos berbilion ringgit," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Serbaguna Dato Sri Wan Junaidi Kampung Tabuan Lot di sini, hari ini.

Wan Junaidi ketika mengulas lanjut lanjut, berkata pihaknya sudah melantik syarikat pelaksana kedua-dua projek itu yang akan dilancarkan Najib bersama-sama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun tarikh pelancaran sedang dirangka dengan pelancaran rancangan tebatan banjir dilakukan serentak di Kuching dan Sibu.

"Selain itu, pelaksanaan projek tebatan banjir di Sibu kali ini adalah pada fasa ketiga dengan menumpukan kepada kawasan Bumiputera pula," katanya.

Beliau berkata, di Sibu sahaja, kos keseluruhan projek tebatan banjir adalah sebanyak RM890 juta di mana sehingga kini, sejumlah RM300 juta peruntukan sudah dikeluarkan dan pihaknya akan memohon peruntukan bagi fasa keempat dilaksanakan pada tahun depan.

"Di Kuching, pelaksanaan projek akan membabitkan kawasan dikenalpasti mengalami banjir kilat iaitu Batu Lintang, Stakan, Tabuan Melayu, Sungai Bedil, Gersik, termasuk Hospital Umum Sarawak (HUS) dan beberapa perumahan persekutuan," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua projek di kedua-dua bahagian akan dilaksanakan oleh kontraktor dari Sarawak.

Berita Harian X