Ahad, 4 March 2018 | 11:37am
PENGERUSI Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

Semua projek perlu ada rumah mampu milik

JELEBU: Pemaju projek perumahan di Negeri Sembilan masih tertakluk kepada dasar perumahan negeri ini yang mewajibkan mereka membina rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias, berkata selain membina rumah berharga lebih RM300,000, pemaju perlu membina rumah rumah berharga antara RM80,000 hingga RM250,000.

Katanya, syarat itu perlu dipatuhi oleh pemaju dan perlu dilaksanakan selepas projek perumahan mereka mendapat kelulusan kerajaan negeri.

"Kerajaan mahu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana ini mampu memiliki rumah pada harga RM80,000 hingga RM250,000 yang dibina oleh pemaju di setiap projek pembinaan di taman perumahan baharu.

"Bagaimana pun proses pemilikan rumah mampu milik berkenaan akan diuruskan oleh kerajaan negeri dengan pemohon perlu mengisi borang yang dikeluarkan bahagian perumahan sebelum diluluskan," katanya ditemui pada program Jualan Sentuhan Rakyat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Klawang, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Yunus Rahmat dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Baharudin Jali.

Dasar perumahan baharu Negeri Sembilan yang diperkenalkan pada 2015 mewajibkan pemaju memperuntukkan 15 peratus daripada keseluruhan projek dengan membina rumah berharga RM80,000 ke bawah, manakala 15 peratus lagi RM250,000 ke bawah, dan 20 peratus lagi untuk berharga RM400,000 ke bawah.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berkata terdapat lima projek perumahan baharu di Jelebu yang turut membabitkan golongan sasar di daerah ini.

Katanya selain projek oleh pemaju swasta, projek rumah bina negara di FELCRA Lakai yang diuruskan sendiri FELCRA antara yang akan dilaksanakan.

"Antara projek itu ialah perumahan perluasan kampung di Kampung Sungai Buloh, Simpang Durian, membabitkan sebanyak 96 buah berharga RM65,000 dengan RM20,000 diberi subsidi oleh kerajaan.

"Secara keseluruhan, dijangka 652 buah rumah akan dibina melalui lima projek berkenaan dan kita berharap dapat memenuhi permintaan terhadap pemilikan rumah di daerah ini," katanya.

Berita Harian X