Jumaat, 2 March 2018 | 3:43pm

'Kakak takut kereta api jatuh hempap kita'

JOHOR BAHRU: Anak perempuannya yang berusia 10 tahun sering merintih, bila mereka hendak berpindah ke rumah baharu kerana pada setiap masa dia ketakutan.

Kedua orang tuanya memahami rintihan si anak tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Kedaifan membuatkan mereka terpaksa tinggal di bawah jambatan laluan kereta api selama hampir 10 tahun.

"Mak, bila kita nak pindah rumah baru. Kakak takut kereta api jatuh hempap kita," itulah rintihan yang sesekali terkeluar dari mulut Kamariah Md Nor.

Selekoh bawah jambatan dekat Taman Impian Emas, Skudai, menjadi saksi kedaifan hidup keluarga Md Nor Khalid, 52, bersama-sama isteri, Norazlin Mohamed Nor, 43, dan tiga anak mereka.

MD Nor Khalid bersama isteri, Norazlin Mohamed Nor, dan dua anaknya, Nurkamariah (kanan) dan Nor Mohammad Alishah (kiri) masih bersyukur kerana masih mempunyai tempat berlindung walaupun terpaksa tinggal di bawah jambatan sejak 10 tahun di Impian Emas, Skudai. - Foto Ernalisa Othman

Selain Kamariah, dua lagi anak mereka ialah Nor Mohamad, 9 dan Nor Mohammad Alishah, 7 tahun.

Md Nor memahami rintihan anaknya dan dia bersama-sama isteri memang berasa kasihan bila anak-anak selalu cakap mereka kena ejek dengan kawan-kawan kerana tinggal di rumah buruk.

"Setiap kereta api lalu, mereka adik-beradik berpeluk sebab takut kereta api itu jatuh hempap rumah. Isteri saya pun takut juga.

"Saya selalu cakap dengan anak-anak supaya sabar ini dugaan kita. Lama-lama mereka sudah lali, cuma sentiasa rasa takut bila kereta api lalu," katanya ketika di temui di kawasan mereka berteduh dekat Skudai.

Di sebalik segala kesukaran, keluarga ini cekal meneruskan kelangsungan hidup tanpa mengharapkan simpati orang ramai.

Jika ada yang sudi menghulurkan makanan, dapatlah mereka menikmati makanan dengan sempurna. Jika tidak, hanya nasi berlaukkan garam menjadi menu utama lima beranak ini.

Md Nor berkata, kehidupan mereka sekeluarga menjadi lebih teruk apabila dia yang bekerja mengutip barang lusuh dipatuk ular ketika mencari rezeki empat bulan lalu.

"Selepas dipatuk ular, keadaan saya jadi lagi teruk. Badan sengal-sengal, terasa bisa setiap hari, mata pun semakin lama makin pudar. Saya kasihan melihat anak sudah setahun tidak pergi sekolah. Siapa mahu tengok anak-anak tidak bersekolah?

"Hati bapa mana tak luluh. Tapi saya hanya mampu pendam perasaan.

"Bagaimanapun saya tetap berusaha kerja, kadang-kadang saya ambil upah urut orang. Dapatlah duit belanja. Saya bersyukur ada kawan-kawan sudi tolong, tetapi sampai bila?

"Anak-anak pun sudah faham kalau tiada lauk, nanti kakak ceduk nasi letak garam, makan dengan adik-adik dia.

"Sikit pun mereka tidak merungut, seolah-olah macam faham apa saya lalui. Sedih memang sedih tetapi ini dugaan saya," katanya hiba.

Rumah usang yang menunggu masa menyembah bumi dilihat hanya disaluti papan-papan nipis dan mudah dimasuki air setiap kali hujan.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Md Nor Khalid di 017-9944588.

KEADAAN rumah keluarga lima beranak ini bukan sahaja tidak selesa malah menanti masa menyembah bumi. - Foto Ernalisa Othman
Berita Harian X