Selasa, 27 Februari 2018 | 1:01pm
MURID Sekolah Kebangsaan Melawa, di Sepanggar menunjukan pelekat pada Majlis Pelancaran GERAH Cilik selepas majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi. - Foto Lano Lan
DATUK Sazali Salbi (tengah) menyampaikan lencana ikon GERAH Cilik kepada murid pada Majlis Pelancaran GERAH Cilik, di Sekolah Kebangsaan Malawa, di Sepanggar. Hadir saman Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Sabah, Datu Jamigol Datu Salin. - Foto Lano Lan
DATUK Sazali Salbi (tiga dari kiri) melancarkan ikon GERAH Cilik di Sekolah Kebangsaan Malawa, di Sepanggar. Hadir sama Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Sabah, Datu Jamigol Datu Salin (kanan). - Foto Lano Lan

Gejala rasuah di sekolah terkawal

SEPANGGAR: Gejala rasuah membabitkan pengurusan sekolah di negeri ini berada pada tahap terkawal.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata sehubungan itu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bagi menganjurkan pelbagai inisiatif ke arah memastikan gejala rasuah tidak menular dalam pengurusan sekolah di negeri ini.

"Bukan tidak ada langsung gejala rasuah membabitkan sekolah di negeri ini, ia tetap ada tetapi peratusannya rendah dan boleh dikawal.

"Kami kini menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyekat gejala rasuah daripada menular di peringkat akar umbi, termasuk membabitkan pengurusan sekolah menerusi beberapa program dan kempen dengan kerjasama JPN Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) Cilik Peringkat Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah SPRM Sabah, Zulkiflee Abdul Hamid; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Sabah, Datu Jamigul Datu Salin serta Guru Besar Cemerlang SK Malawa, Judin Diana.

Lebih 500 murid SK Malawa menyertai program itu dan turut melafazkan Ikrar Sahabat GERAH Cilik SPRM.

Sahabat GERAH dilancarkan pada 8 Mei 2017, manakala hari ini Sahabat GERAH Cilik yang membabitkan murid sekolah rendah dilancarkan serentak di seluruh negara.

Sementara itu, Sazali berkata, pihaknya menyasarkan lebih 500,000 murid dan pelajar menyertai Sahabat GERAH Cilik dan Junior membabitkan 1,075 sekolah rendah di Sabah.

"Kita akan perluaskan ke sekolah setiap daerah untuk memastikan kesedaran benci rasuah bermula sejak sekolah rendah dalam usaha mencapai matlamat untuk memberi kesedaran di semua peringkat.

"SPRM juga akan meneruskan inisiatif kempen rasuah termasuk di sekolah pedalaman dan luar bandar supaya mereka didedahkan (membenci rasuah)," katanya.

Berita Harian X