Ahad, 18 Februari 2018 | 5:45pm
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) pada Majlis Perasmian Dewan dan Kejiranan Mesra DBKU, di Kampung Goebilt, Muara Tebas, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Wan Junaidi sedia undur jika ada calon lebih baik

KUCHING: Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi kerusi Parlimen Santubong, kelihatan semakin 'panas' apabila penyandangnya yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mendakwa tiada calon berpotensi menggantikannya.

Kerusi Parlimen itu disebut-sebut bakal menyaksikan calon baharu bagi menggantikan Wan Junaidi yang sudah menjadi wakil rakyat selama 28 tahun.

Wan Junaidi mengakui sedia mengundurkan diri, jika pucuk kepemimpinan BN mahu meletakkan calon baharu menggantikannya.

"Orang boleh bercakap apa sahaja mereka suka tapi kena tunggu hari penamaan calon, baharu kita tahu siapa yang akan berlawan.

"Saya tidak kisah apa sahaja laporan (berkenaan calon kerusi Parlimen Santubong) dan jika BN ada calon lebih baik, saya akan mengundurkan diri.

"Sudah menjadi budaya dalam parti, jika saya tidak dipilih, tiada isu sama ada untuk saya tidak bersetuju," katanya selepas merasmikan Dewan Masyarakat di Kampung Goebilt di sini, hari ini.

Walaupun Wan Junaidi memberi komen seperti mahu 'berdiplomasi', namun beliau memberi tanda mahu terus menjadi calon di kerusi Parlimen Santubong berikutan masih mendapat sokongan kukuh di peringkat akar umbi.

"Rakyat di kawasan Santubong tahu prestasi saya di sini, jadi jika ada calon lain yang mahu bertanding di sini, calon berkenaan kena berkerja keras kerana berada dalam kawasan 'kasut besar' yang sudah saya sediakan," katanya.

Katanya, sehingga kini, beliau langsung tidak dapat mengenal pasti calon berpotensi bagi menggantikannya di kerusi berkenaan.

"Sokongan kepada saya masih ada, malah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum lalu. Jadi, jika BN mahu saya kekal bertanding...saya bersedia," katanya.

Berita Harian X