Khamis, 15 Februari 2018 | 1:19pm
PERSEKITARAN perkampungan air di Sembulan, kembali bersih daripada timbunan sampah sarap selepas penduduk melakukan pembersihan di sekitar rumah masing-masing, susulan tindakan saman oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), bulan lalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Kampung air di Sembulan kembali bersih

KOTA KINABALU: Penduduk perkampungan air di Sembulan dekat sini, melakukan pembersihan di sekitar rumah masing-masing susulan tindakan saman oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Baru-baru ini, DBKK mengeluarkan saman kepada 17 pemilik rumah di kampung itu untuk hadir ke mahkamah mengikut Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005, berikutan gagal membersihkan sampah sarap di kawasan kediaman masing-masing.

Tinjauan mendapati tiada lagi timbunan atau longgokan sampah sarap seperti botol plastik dan bekas makanan, di bawah rumah serta persekitaran kampung itu yang terletak di pinggir bandar raya ini.

Penduduk, Nurafieqah Abdullah, 41, berkata masyarakat kampung itu secara keseluruhan kini lebih menitik berat aspek kebersihan dan membuang sampah di tempat disediakan.

Katanya, kampung itu melalui banyak perubahan selepas DBKK mengeluarkan saman mahkamah sejak 2016 hingga yang terbaru pada bulan lalu.

"Walaupun adakala peringatan sama terpaksa diberikan kepada penduduk, longgokan sampah teruk seperti beberapa tahun lalu tidak lagi berlaku.

"Selepas dikenakan saman mahkamah dua tahun lalu, hampir setiap rumah mempunyai perangkap sampah dihasilkan sendiri. Namun, masih ada segelintir penduduk mengambil jalan mudah membuang sampah terus ke bawah rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Norhajija Siuh, 36, mendakwa selain dibuang penduduk, ada sampah dihanyutkan laut apabila air pasang sehingga tersangkut di bawah rumah selepas air surut.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkaitan memasang jaring di aliran utama menghubungkan laut dengan kawasan kampung itu bagi menghalang sampah mencemari kawasan rumah.

Sementara itu, Ketua Kampung Sembulan Tengah, Yunus Tamin, berkata pihaknya menyokong penuh tindakan saman oleh DBKK kerana dapat memberi pengajaran kepada penduduk masih berdegil membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

"Kita sering menasihati dan menegur penduduk yang mempunyai persekitaran kediaman kotor tetapi mereka tetap berdegil. Saman adalah langkah terbaik dan berkesan menangani masalah sampah di kampung ini," katanya.

Yunus berkata, beliau sentiasa membuat rondaan di sekitar perkampungan itu bagi memastikannya berada dalam keadaan bersih.

Berita Harian X