Ahad, 11 Februari 2018 | 6:38am
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed melepaskan Team Ronda Operasi Selamat sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, (kanan) pada Majlis Pelancaran OP Selamat 12/2018 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Kelantan di Kompleks Niaga Tok Wan Mat, Bukit Bunga. - Foto Ihsan Pembaca.

12 kawasan panas tumpuan Polis Kelantan

TANAH MERAH: Polis Kelantan melancarkan Ops Selamat 12/2018 dengan menumpukan 12 kawasan panas di seluruh negeri ini yang sering berlaku kemalangan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina, hari ini.

Kawasan terbabit merangkumi Kota Bharu di Jalan Kota Bharu - Machang, Kota Bharu - Pengkalan Chepa dan Kota Bharu - Kuala Terengganu.

Kawasan lain adalah di Gua Musang membabitkan Jalan Kota Bharu-Gua Musang-Kuala Lipis; Kuala Krai (Jalan Gua Musang-Kuala Krai); Machang (Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Jalan Tanah Merah-Machang-Pasir Puteh); Pasir Puteh (Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu) dan Tanah Merah (Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli).

Turut terbabit kawasan di Jeli iaitu Jalan Kota Bharu-Machang-Grik; Tumpat (Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor) dan Pasir Mas (Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang),"

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata Ops Selamat yang dilaksanakan selama 15 hari itu bagi memastikan kadar kemalangan di negeri ini terus berkurang berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 456 kes kemalangan direkodkan tahun lalu pada musim perayaan sama berbanding 473 kes pada tahun 2016.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes kemalangan maut dicatatkan pada tahun 2016 dengan 11 kematian, manakala tahun lalu, kes kemalangan maut mencatatkan angka sama iaitu 11 kes dengan 12 kematian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 12 di Kompleks Niaga Tok Wan Mat, Bukit Bunga di sini, hari ini.

Majlis pelancaran Ops Selamat 12 itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, selain kawalan lalu lintas, Ops Selamat pada kali ini dilaksanakan dengan konsep berbeza berbanding tahun lalu apabila turut memberi tumpuan kepada pencegahan kes jenayah pecah rumah.

"Selain polis yang menjalankan tugas, saya juga minta pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan tidak usah gopoh memandangkan banyak kenderaan akan berada di atas jalan bagi mengelakkan berlaku kemalangan," katanya.

105 dibaca
Berita Harian X