Sabtu, 10 Februari 2018 | 7:47pm
Goodday Milk mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Goodday Milk pecah rekod

KUALA LUMPUR Percaturan pengeluar susu segar berpastur nombor satu negara, Goodday Milk, dalam menyuntik keunikan berkempen mencetuskan kejutan apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Syarikat yang mula memasarkan produk di pasaran tempatan sejak 1968 itu menggerakkan kempen persampelan, Goodday Milk Fest 2017 menerusi 50 penunggang motosikal membawa balang susu, sekali gus menyelami nostalgia dalam kalangan warga kota.

Berpakaian sedondon, 'abang susu' yang menunggang dengan mengenakan apron bercorak lembu tenusu, putih bertompok hitam itu menjelajah ke beberapa lokasi strategik untuk mengedarkan sampel produk kepada orang ramai.

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Santharuban T Sundaram, berkata pendekatan digunakan sepanjang tujuh hari festival itu berlangsung bukan sekadar meraih sambutan pelanggan, sebaliknya mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak melihat kelibat penghantar susu menaiki motosikal sebelum fajar menyinsing.

"Kita adalah penyokong tegar susu kerana ia mengandungi zat yang menyumbang kepada kesihatan tubuh badan, justeru festival ini bukan bertujuan hanya mengagihkan sampel tetapi mendidik masyarakat mengenai kandungan khasiat dalam setiap karton produk Goodday Milk.

"Oleh itu, pelbagai promosi dan ganjaran disajikan kepada pelanggan untuk menarik perhatian mereka, selain menjadikan penganjuran kempen yang lebih unik serta menggembirakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sijil pengiktirafan rekod penghantar susu teramai menggunakan motosikal itu disampaikan Wartawan Penyelidikan Kanan Malaysia Book of Records Sdn Bhd, Nurasyikin Ramli, kepada Pengurus Penjenamaan Kanan Etika Sdn Bhd, Cheong May Yeen, dalam satu majlis, pada 22 Januari lalu.

Penganjuran festival dari 25 hingga 31 Julai tahun lalu itu merekodkan pengagihan 34,560 paket susu merangkumi enam perisa, termasuk variasi terbaru iaitu madu dan teh hijau.

36 dibaca
Berita Harian X