Khamis, 8 Februari 2018 | 2:04pm
HARGA makanan laut seperti ketam, udang dan sotong mengalami peningkatan susulan musim hujan berterusan dan permintaan meningkat menjelang Tahun Baharu Cina di Pasar Besar Kota Kinabalu. - Foto Amniera Naziera Amran
HARGA makanan laut seperti ketam, udang dan sotong mengalami peningkatan susulan musim hujan berterusan dan permintaan meningkat menjelang Tahun Baharu Cina di Pasar Besar Kota Kinabalu. - Foto Amniera Naziera Amran

Faktor cuaca punca harga makanan laut meningkat

KOTA KINABALU: Harga makanan laut, terutama ketam, udang dan sotong di bandar raya ini mengalami peningkatan susulan musim hujan berterusan dan permintaan meningkat menjelang Tahun Baharu Cina.

Tinjauan di Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini, mendapati, purata harga makanan laut mengalami peningkatan antara RM2 sehingga RM10 sekilogram.

Harga ketam mengalami kenaikan sehingga RM30 sekilogram, udang (antara RM22 hingga RM40), manakala ikan kembung (RM25) dan bawal putih (RM30).

Turut mengalami peningkatan ialah sotong apabila ia dijual pada harga antara RM12 hingga RM30 sekilogram bergantung kepada saiz, namun kebanyakan pasar berdepan kekurangan bekalan.

Peniaga, Azman Salim, 26, berkata bekalan udang dan sotong berkurangan sejak beberapa hari lalu dan dia juga tidak menerima stok hidupan laut itu susulan hujan berterusan menyebabkan kekurangan bekalan.

"Kebanyakan penjual ikan di sini tidak mendapat bekalan sotong. Hanya beberapa gerai saja menjualnya, itu pun mengalami kenaikan harga mencecah RM12 sekilogram yang bersaiz kecil, berbanding RM8 hingga RM10 sekilogram sebelum ini.

"Cuaca tidak menentu antara punca nelayan tidak ke laut menyebabkan bekalan sotong berkurangan, dijangka sehingga Tahun Baharu Cina," katanya.

Peniaga yang mahu dikenali Rosmidah pula berkata, harga udang tidak stabil sejak seminggu lalu dan mengalami kenaikan sehingga RM10 sekilogram.

"Pembekal beritahu stok udang berkurangan disebabkan faktor cuaca sekarang menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga. Kami tidak bolehberbuat apa-apa kerana bila pembekal naikkan harga, kami terpaksa ikut.

"Ramai pembeli merungut harga udang mahal daripada kebiasaan yang dijual antara RM15 sehingga RM20 sekilogram, tetapi sekarang boleh mencecah RM35 sehingga RM40 sekilogram" katanya.

Sementara itu, pengguna, Wong Khiat Foo, 52, berkata harga makanan laut biasa mengalami peningkatan namun ia hanya berlaku apabila cuaca buruk dan sebagai pengguna dia tetap membelinya.

"Makanan laut, terutama udang dan sotong tetap menjadi hidangan utama keluarga, ditambah perayaan besar Tahun Baru Cina tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X