Selasa, 6 Februari 2018 | 5:53pm
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau kawasan banjir di beberapa kampung di daerah Penampang. - Foto Ihsan APM

Banjir di Sarawak makin buruk

KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak semakin buruk dengan jumlah keseluruhan mangsa dipindahkan meningkat di seluruh negeri.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam satu kenyataan memaklumkan, hingga jam 4 petang semalam, seramai 3,231 mangsa daripada 908 keluarga ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga bahagian negeri ini.

Daripada jumlah itu, Kota Samarahan mencatat jumlah tertinggi dengan 1,840 mangsa daripada 481 keluarga berpindah ke sembilan PPS.

Bahagian Serian pula mencatatkan 1,038 mangsa daripada 281 keluarga ditempatkan di lapan PPS, manakala tiga PPS di Bahagian Mukah menempatkan 225 mangsa daripada 68 keluarga.

Lapan PPS di Kota Samarahan ialah Dewan Pembangunan Sebuyau yang menempatkan 64 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin (578), Masjid Kampung Seruyuk (328), SK Haji Kelali Semera (184), Dewan Suarah Kota Samarahan (47), Pusat Sumber Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sadong Jaya (215), SK Mang (210) dan Kompleks Sukan Asajaya (275).

Lapan PPS di Bahagian Serian pula ialah Dewan Betong Kenawit (16), Dewan Lintang Baru Panchor (210), SK Samarahan Estate (172), Surau Hadhari Kampung Rimba Padi (93), Gereja St Peter Kampung Sok (86), Dewan Kampung Slabi Entukuh (26), Dewan Masyarakat Serian (183) dan SK Tanah Puteh (252).

Bilangan mangsa banjir di tiga PPS di Bahagian Mukah masih kekal, iaitu SK Parish Balingian (104), Dewan Masyarakat Kampung Kuala Balingian (82) dan Dewan Suarah Mesra Mukah (tiga).

Sehingga jam 4 petang semalam juga, satu lagi PPS baharu dibuka di Dewan SALCRA, Kedup di Serian yang menempatkan 129 mangsa.

Sementara itu, jumlah sekolah tidak dapat beroperasi semalam meningkat kepada 23 termasuk sebuah sekolah menengah, membabitkan 3,865 pelajar.

Ia membabitkan enam sekolah di Mukah, Dalat (5), Padawan (2), Serian (4), Kota Samarahan (3), Selangau (1), Bintulu (1) dan Sibu (1).

Berita Harian X