Selasa, 30 Januari 2018 | 3:32pm
PRESIDEN Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil.

MPT perluas pembayaran secara elektronik

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan memperluaskan sistem bayaran cukai premis termasuk cukai pintu, premis perniagaan dan pembayaran lesen operasi serta lesen perniagaan melalui pembayaran secara elektronik secara berperingkat.

Presidennya, Alijus Sipil, berkata kaedah itu antara lain bertujuan memudahkan penduduk setempat yang berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bermula, awal bulan ini.

Katanya, inisiatif pelaksanaan sistem bayaran elektronik itu memudahkan pengguna atau pemilik premis perniagaan membuat bayaran secara terus ketika didatangi petugas MPT yang akan membuat lawatan serta rondaan di premis tertentu.

"Melalui data sedia ada, kita dapati ada pemilik premis yang gagal menjelaskan bayaran cukai pintu termasuk lesen operasi, selain ada tunggakan yang belum dijelaskan.

"Justeru dengan adanya sistem bayaran elektronik ini, kakitangan bertugas akan mengenal pasti premis yang terbabit sebelum lawatan dibuat bagi memudahkan mereka membuat bayaran secara terus," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Alijus berkata, pihaknya akan menjalankan 'Ops Premis-Bayar Segera' pada 19 Februari ini yang memberi fokus kepada pemeriksaan serta pematuhan premis perniagaan antaranya lesen perniagaan dan operasi, papan tanda dan iklan, struktur bangunan tanpa kelulusan, kaki lima serta ruang legar.

Katanya, operasi itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai dan peniaga agar lebih komited dan mematuhi peraturan selaras Undang-undang Kecil Majlis 1968.

"Selain menggunakan kaedah memberi khidmat nasihat dan peringatan, tindakan serta-merta akan dilakukan terhadap peniaga yang didapati tidak mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X