Rabu, 24 Januari 2018 | 7:25pm
MANGSA banjir dalam DUN Kenering menerima bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Gerik. - Foto D J Dolasoh

40 mangsa banjir terima bantuan PPK

GERIK: Beban 40 keluarga mangsa banjir di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering dekat sini pada November lalu sedikit terubat apabila menerima bantuan keperluan makanan di sini, petang tadi.

Bantuan itu diberikan kepada penduduk yang juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik di Kampung Belum Baru, Lawin, Air Jada dan Malau yang mana rumah mereka ditenggelami air sedalam 1.5 meter.

Mereka adalah antara lebih 200 penduduk sekitar Gerik dan Lenggong yang menjadi mangsa banjir selama tiga hari bermula 5 November lalu.

Kotak bantuan makanan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris, pada majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir kepada ahli PPK di pekarangan Masjid Kampung Belum Baru di sini.

Pengurus Besar PPK Gerik, Mohd Aini Ahmad, berkata bantuan daripada Tabung Kebajikan Ahli PPK Gerik bagi meringankan bebanan yang ditanggung akibat bencana banjir.

"Setiap ahli PPK yang terbabit dengan banjir adalah layak menerima bantuan dan tidak ada istilah pilih kasih kerana semua ahli yang berdaftar dengan PPK akan menerimanya," katanya.

 Terdahulu, Mohd Tarmizi berkata, usaha PPK menyampaikan bantuan itu wajar diikuti pihak lain terutama dalam keadaan sekarang yang memerlukan banyak perbelanjaan untuk membeli barangan keperluan asas.

 "Pemberian bantuan ini bukan saja sebagai usaha menyantuni penduduk yang menghadapi masalah akibat bencana alam tetapi juga bagi membantu kerajaan meringankan bebanan yang dihadapi rakyat," katanya.

Berita Harian X