Selasa, 23 Januari 2018 | 6:37pm
Pegawai Imigresen memeriksa dokumen warga asing yang ditahan di kawasan pembinaan di Jalan Langgar dalam Ops Mega. - Foto Noorazura Abdul Rahman

'Menyorok dalam sawah' elak ditahan Imigresen

ALOR SETAR: Sekumpulan pekerja asing sanggup meredah kawasan berselut melalui sawah padi demi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Mega, di sini, pagi tadi.

Rata-rata mereka yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad bertindak demikian sejurus menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di tapak pembinaan tempat mereka bekerja.

Ops Mega bermula jam 10.30 pagi ini menyasarkan dua lokasi masing-masing membabitkan tapak pembinaan di sekitar daerah ini untuk mengesan kewujudan PATI.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata seramai 21 warga asing berstatus PATI ditahan dalam Ops Mega yang disertai 30 anggota membabitkan pihaknya dengan dibantu anggota RELA.


Pegawai Imigresen memeriksa dokumen warga asing yang ditahan di kawasan pembinaan di Jalan Langgar dalam Ops Mega. - Foto Noorazura Abdul Rahman

"Dalam serbuan pertama di tapak pembinaan pangsapuri, di sini, dua lelaki masing-masing warga Indonesia dan Bangladesh ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan berkaitan Imigresen.

"Di lokasi kedua pula iaitu di tapak pembinaan taman perumahan tidak jauh dari lokasi pertama, seramai 17 PATI termasuk tiga wanita yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Thailand ditahan.

"Dalam serbuan itu, beberapa pekerja asing di tapak berkenaan melarikan diri ke kawasan sawah selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun ada yang berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan di sini.

Zuhair berkata, melalui Ops Mega itu seramai 84 pekerja asing diperiksa di kedua-dua lokasi, namun hanya 21 yang ditahan setelah disahkan melakukan pelbagai kesalahan.

"Semua 21 PATI berusia antara 23 hingga 48 tahun ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di tapak pembinaan, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen.

"Semua yang ditahan kini ditempatkan di lokap Imigresen di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X