Isnin, 22 Januari 2018 | 2:16pm
DATUK Amar Abang Johari (tengah) memukul gendang sebagai simbolik merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon 2 (Samarahan) di Kuching.- Foto Sandra Albertz

Sarawak teroka minyak di daratan

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak melalui anak syarikatnya, Petroleum Sarawak (PETROS) berhasrat meneroka aktiviti carigali minyak di kawasan daratan di negeri ini dengan memanfaatkan teknologi sama digunakan dalam industri petroleum di Asia Barat, khususnya di Oman.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata ia sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pertumbuhan industri petroleum negeri ini, susulan lawatan kerjanya ke Oman dan beberapa negara Asia Barat, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

"Kita melawat Oman yang begitu luas padang pasirnya, manakala di seberang lautnya pula ialah Iran. Di Oman, kita berpeluang meninjau kerja-kerja carigali minyak di padang pasir, menggunakan pelbagai teknologi terkini yang sesuai dipraktikkan di Sarawak.

"Menggunakan teknologi canggih itu, Oman mampu mengeluarkan jutaan tong minyak sehari dari telaga padang pasirnya. Atas sebab itu, kita turut membawa wakil PETROS untuk merintis teknologi sama kerana kemungkinan di bawah (daratan) Miri, kita turut memiliki sumber minyak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 2 (Samarahan) di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini.

Abang Johari yang juga menteri bertanggungjawab terhadap sumber minyak dan gas negeri, berkata pendekatan terbaru itu diyakini mampu mengekalkan kedudukan industri petroleum sebagai penyumbang utama ekonomi negeri.

Malah, beliau melihat perkara itu sebahagian daripada usaha memastikan ekonomi negeri terus berada pada landasan kukuh, sekali gus kekal sebagai kuasa ekonomi utama di negara ini.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan Sarawak juga sebagai mengenalpasti mekanisme baharu untuk pelaksanaan kutipan cukai terhadap pihak menjalankan aktiviti pengeluaran hasil petroleum di negeri ini.

"Ini penting supaya cukai itu dapat dimanfaatkan kerajaan negeri bagi menjalankan lebih banyak projek pembangunan yang berorientasikan kepentingan rakyat kita. ia termasuk pembinaan semula sekolah dan tadika usang yang masih banyak di seluruh negeri tanpa perlu menunggu peruntukan Kerajaan Pusat.

"Kita juga akan menggunakan sumber pendapatan cukai itu bagi menampung kos pembinaan sistem grid bekalan air paip negeri ini yang dijangka mencecah RM1 bilion bagi fasa pertamanya yang akan menyalurkan air bersih dari Empangan Hidro Batang Ai," katanya.

Abang Johari berkata, inisiatif itu bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang masih berterusan berlaku di kebanyakan kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman dan luar bandar membabitkan Bahagian Samarahan hingga ke Sebuyau dan Tanjung Manis, Mukah.

"Kemudian, fasa seterusnya projek grid itu bagi menyalurkan air bersih dari Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Baleh, sekali gus menawarkan suasana kehidupan selesa kepada rakyat, khususnya masyarakat pedalaman dan luar bandar," katanya.

Berita Harian X