Isnin, 22 Januari 2018 | 12:50pm
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang media lawatan kerja ke Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia. - Foto Hafiz Sohaimi

RM20 juta bina semula surau, masjid

PETRA JAYA: Enam surau dan masjid membabitkan kos keseluruhan RM20 juta akan dibina semula dalam kawasan Parlimen Santubong bermula Jun tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata antara surau dan masjid dinaik taraf itu membabitkan kawasan Kampung Pulau Salak, Kampung Kudi di Jalan Pasir Pandak, Kampung Stoh di Lundu, Kampung Semilang dan Beradik, Kampung Sepakat Jaya serta Taman Mesra Rakyat di Bako.

Beliau berkata, perancangan untuk membina semua surau dan masjid itu dicadangkan sejak tahun 2011, namun berdepan pelbagai cabaran, termasuk isu membabitkan pemilihan tapak tanah dan pelantikan kontraktor.

"Kita berharap penduduk terbabit dengan agensi berkaitan dapat mencapai persetujuan segera supaya pembinaan keenam-enam surau dan masjid ini dapat dilaksanakan. Jika isu ini selesai, saya jangka projek boleh dimulakan menjelang pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pembinaan Surau Ar-Rahman Family Park Kuching, di sini.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong, berkata sebanyak RM2.4 juta turut diperuntukkan untuk membina Surau Ar-Rahman.

Katanya, peruntukan diberikan hasil dana disalurkan Kerajaan Persekutuan, kutipan penduduk dan sumbangan pemaju, Custodev Sdn Bhd yang turut mewakafkan tanah untuk pembinaan surau itu.

"Ia dijangka siap menjelang Disember tahun ini, dengan kapasiti mampu menampung 500 jemaah pada satu masa," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X