Ahad, 21 Januari 2018 | 10:32pm
AHLI Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera (PUGB) peringkat negeri, turut bersama Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Operasi, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Suarni Sumormo (kanan) di Dewan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Kangsar. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Pekebun getah wajar manfaatkan bantuan

KUALA KANGSAR: Pekebun kecil getah harus memanfaatkan bantuan kerajaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Operasi, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Suarni Sumormo, berkata masih ramai golongan berkenaan belum membuat permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), biarpun layak serta sudah didaftarkan dalam pangkalan data BMT.

"Kerajaan banyak membantu pekebun kecil serta penoreh getah, khususnya Bumiputera seperti jaminan harga getah beku dari ladang yang tidak akan kurang daripada RM2.20 sekilogram menerusi Insentif Pengeluaran Getah, pulangan semula kutipan ces, serta bantuan modal sebanyak RM140,000 kepada koperasi getah Bumiputera.

"Pekebun kecil dan penoreh getah di negara ini sangat beruntung kerana tidak ada mana-mana negara pengeluar getah di dunia ini yang melakukan inisiatif seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera (PUGB) peringkat negeri Perak yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di sini, hari ini.

Suarni berkata, ketika ini lebih 152,000 pekebun kecil dan penoreh getah masih belum memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang berakhir pada 31 Januari ini.

Katanya, pekebun kecil dan penoreh Bumiputera harus mengambil peluang daripada insentif itu yang membabitkan pemberian RM200 sebulan yang dibayar selama tiga bulan bermula November tahun lalu sehingga bulan ini, membabitkan peruntukan RM261 juta.

Beliau berkata, sehingga 18 Januari lalu, pembayaran BMT dibuat kepada kira-kira 330,000 penerima membabitkan jumlah RM174 juta.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, penyertaan pekebun kecil dan pengusaha getah dalam PUBG adalah wajar bagi memastikan penggiat industri getah Bumiputera dapat berdiri sama tinggi dengan kaum lain, selain memudahkan penyaluran maklumat serta bantuan kerajaan.

Katanya, setakat ini, PUGB hanya mempunyai lebih 1,000 ahli membabitkan empat negeri iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Perak.

Berita Harian X