Ahad, 21 Januari 2018 | 3:39pm
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum. - Foto Hafiz Sohaimi

Pertingkat kawalan di ICQS untuk kekang PATI

JITRA: Tahap kawalan keselamatan di pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam perlu dipertingkatkan bagi menghalang lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan mendominasi pekerjaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum, berkata kerajaan Malaysia dan Thailand perlu duduk semeja bagi mengatasi perkara itu berikutan pintu sempadan itu akan beroperasi 24 jam pada 2019.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, beliau bimbang masalah itu akan bertambah apabila Bukit Kayu Hitam dibangunkan sebagai Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) kelak.

"Kes jenayah penyeludupan ini tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara, budaya angkat tangan di ICQS perlu dibendung. Ramai memberi alasan untuk ke Kompleks Bebas Cukai dan masuk ke Thailand tanpa pas sempadan.

"Pas sempadan ini perlu bagi menjamin keselamatan mereka berada di negara jiran, malah ia juga boleh mengekang kejadian penyeludupan migran ke negara ini, jika terlalu ramai PATI, rakyat tempatan sendiri pula perlu bersaing untuk mendapatkan kerja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan 56 pelajar dari Kubang Pasu yang akan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Johari berkata, beberapa isu berbangkit mengenai van pelancong Thailand yang dibenarkan membawa pelancong ke negara juga perlu diberi perhatian serius berikutan ia turut menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan van pelancong tempatan.

"Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa mendengar aduan penduduk yang mencari rezeki di pintu sempadan.

"Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka, rundingan dengan kerajaan Thailand perlu dilakukan supaya masalah ini tidak berlarutan," katanya.

Berita Harian X