Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:34am
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kanan) melancarkan 'Smart Paking MPHTJ' sambil disaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Murad Husin (kanan) pada Majlis Anugerah Komuniti 2017 sempena sambutan Hari Perbandaran MPHTJ ke 8 di Philea Resort & Spa, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

4 PBT Melaka perintis aplikasi i-Kepoh

AYER KEROH: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka menjadi perintis bagi aplikasi i-Kepoh, sekali gus menjadi perantara pantas bagi penyelesaian kes aduan rakyat yang pertama di negara ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Katanya, aplikasi projek fasa pertama dipraktikkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu seiring kepesatan dunia teknologi yang dapat dihubungkan secara pantas.

"Aplikasi i-Kepoh secara tidak langsung menjadi pencapaian kepada PBT Melaka, selain menjadi negeri contoh kepada PBT lain di negara ini.

"Dengan adanya kemudahan teknologi ini, banyak aduan seperti masalah rumah, sampah, banjir, bencana dan jalan berlubang dapat ditangani dengan lebih pantas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Komuniti 2017 sempena Sambutan Hari Perbandaran Ke-8 MPHTJ di Philea Resort & Spa Ayer Keroh, di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, Idris turut melancarkan 'Smart Parking MPHTJ' yang dilancarkan sejak 1 Januari lalu, sebagai satu kaedah pengguna bagi membayar caj letak kereta berlandaskan kemajuan teknologi terkini.

Smart Parking MPHTJ adalah alternatif kepada pengguna membuat bayaran caj letak kereta tanpa menggunakan wang tunai dan lebih fleksibel.

Dalam pada itu, PBT berkenaan turut menyampaikan Anugerah Komuniti 2017 kepada penerima Kategori Hotel, Perindustrian, Perniagaan, Harta Khas, Lesen Efisien, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Komuniti Sihat dan Aktif, Anugerah Gerai Terbaik, Anugerah Komuniti Rendah Karbon dan Anugerah Khas.

MPHTJ turut memberi penghargaan kepada BH, Utusan Malaysia, Sinar Harian, China Press dan Melaka Hari Ini bagi penerima Media Aktif (Kategori Percetakan), manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Melaka TV masing-masing bagi Kategori Elektronik.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhammad; EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Wira Ismail Othman dan Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Murad Husin.

51 dibaca
Berita Harian X