Khamis, 18 Januari 2018 | 6:39pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Johor Datuk Tee Siew Kiong (dua dari kiri), Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab (dua dari kanan), Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort Kurt Stock (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Themed Attraction Resort and Hotel Amir Azizan (kiri) bersama enam kanak-kanak mencari replika hidupan laut dalam timbunan pasir sebagai gimik pecah tanah pembinaan Akuarium Hidupan Laut Malaysia di Legoland Malaysia Resort hari ini.- Foto BERNAMA

Akuarium hidupan laut tarikan terbaharu Legoland

JOHOR BAHRU: Akuarium Hidupan Laut Malaysia yang menjadi tarikan terbaharu di Legoland Malaysia Resort di sini akan mula beroperasi pada suku keempat tahun ini dengan pelaburan dianggarkan RM50 juta.

Majlis pecah tanah pembinaan akuarium itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Siew Kiong berkata, pembukaan akuarium itu kelak menjadi satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini, selain menunjukkan pelaburan baik dalam mencipta produk baru pelancongan.

"Pembukaan akuarium ini juga menjadi satu bukti bahawa taman tema popular di Johor dan membolehkan membantu menaikkan imej nama baik Johor untuk kita menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

"Perangkaan Tourism Malaysia meletakkan Johor sebagai negeri paling banyak dilawati pelancong tempatan pada tahun lalu dengan seramai 7.4 juta pelancong tempatan, selain 2.6 juta pelancong asing iaitu yang ketiga tertinggi di negara ini.

"Angka ini menunjukkan perkembangan pesat industri pelancongan di Johor. Ia juga membawa kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi johor dan membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan diwujudkan.

"Perkembangan ini dianggap satu kesan yang baik kepada satu kerajaan yang bertanggungjawab dan kita akan meneruskan pelan induk pelancongan 10 tahun sehingga tahun 2023," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Themed Attraction Resorts and Hotel, Amir Azizan, berkata kerja pembinaan sedang giat dijalankan dan projek itu dijangka dapat beroperasi mengikut jadual.

Katanya, akuarium seluas 2,123 meter persegi itu dibina dengan kos RM50 juta dan akan mempunyai 25 tangki pameran dan 11 habitat hidupan laut.

"Habitat itu membabitkan hidupan air tawar, pesisir pantai, terumbu karang dan gua laut dengan akuarium terletak bersebelahan tiga mercu tanda lain iaitu Taman Tema Legoland, Taman Air Legoland dan Hotel Legoland.

"Di Legoland, apa yang penting ialah pelaburan berterusan yang dapat menarik minat dan kehadiran pelancong, sama ada tempatan mahu pun luar negara.

"Alhamdulillah, sehingga kini kita mendapat sambutan menggalakkan pengunjung daripada luar dan dalam negara," katanya.

Berita Harian X