Khamis, 18 Januari 2018 | 1:18pm

Betulkan pindaan perlembagaan beri kesan buruk - Sultan Johor

MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini mengesyorkan sebarang pindaan perlembagaan yang dilakukan pada masa lalu dan memberi kesan tidak baik pada masa ini, supaya diperbetulkan demi menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Sultan Ibrahim bertitah, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang paling utama di Malaysia yang mengambil kira kepentingan semua pihak dan latar belakang sejarah negara ini.

Bagaimanapun, titah baginda, terdapat beberapa pindaan dan penambahbaikan yang dibuat pada masa lalu mengikut keadaan semasa dan keperluan pada waktu itu.

"Jika ada pindaan (Perlembagaan) yang dibuat dulu memberi kesan tidak baik pada hari ini, saya syorkan perkara ini diperbetulkan demi menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang terus dipelihara.

"Johor adalah kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai perlembagaan bertulis dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Ia bermula apabila Almarhum Sultan Abu Bakar mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor pada 14 September 1895.

"Sehingga hari ini, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang menggariskan cara dan peraturan bagaimana kerajaan harus ditadbir masih kekal digunakan tanpa banyak pindaan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Muar, Jalan Temenggong Ahmad di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir pada majlis itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Sultan Ibrahim bertitah, untuk memastikan kestabilan negara, sistem pengasingan kuasa juga perlu dipelihara.

"Tiga komponen utama kerajaan iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman mestilah bebas dan mempunyai hak membuat keputusan terhadap bidang kuasa masing-masing. Tidak ada pihak memegang kuasa mutlak.

"Jika kuasa mentadbir, menggubal undang-undang dan menghakimi pertikaian diletakkan ke atas seseorang atau satu institusi saja, ia akan menggalakkan pemerintahan autokratik dan tidak ada 'check and balance' (periksa dan semak)," titah baginda.

343 dibaca
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah di Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Muar di Jalan Temenggong Ahmad. - Foto Adi Safri
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar (tengah) diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif (kanan) menandatangani plak perasmian di Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Muar, Jalan Temenggong Ahmad. - Foto Adi Safri
Berita Harian X