Selasa, 16 Januari 2018 | 10:16am
JUMLAH mangsa banjir di Pekan sehingga jam 10 pagi ini masih kekal 477 orang daripada 120 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS). - Foto BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Pekan tidak berubah

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pekan sehingga jam 10 pagi ini masih kekal 477 orang daripada 120 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata tiga PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan SK Aceh (9 orang, 2 keluarga).

"Dua PPS iaitu SK Merchong Jaya yang menempatkan 87 orang daripada 17 keluarga ditutup jam 3 petang semalam manakala Pusat Pemindahan Kampung Lamir yang mempunyai 55 orang daripada lapan 8 keluarga) ditutup jam 5 petang," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 5 petang, hanya Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan melepasi paras bahaya atau merah iaitu dengan bacaan 10.34 meter.

Dua lagi sungai menunjukkan bacaan paras waspada atau jingga iaitu Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran 18.03 meter (19.00 bacaan paras bahaya) dan Kuala Sungai Chini, Pekan 14.58 meter (14.90 bacaan paras bahaya).

Berita Harian X