Sabtu, 13 Januari 2018 | 1:15pm
TEE Siew Kiong (dua dari kanan) diiringi Tan Kok Liang (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian bersempena Majlis Perasmian Wisma MATTA Johor Chapter yang diadakan di Jalan Adda Utama, Taman Adda Heights, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

RM50,000 dana rancakkan industri pelancongan

JOHOR BAHRU: Johor memperuntukkan RM50,000 kepada Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor dalam usaha merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata inisiatif itu akan membabitkan kerjasama strategik antara Tourism Johor dengan MATTA Johor bagi menawarkan 50 pakej Melawat Johor, sekali gus menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Katanya, sebanyak 234 agensi pelancongan yang berdaftar di Johor akan dihimpunkan bersama bagi mencari penyelesaian terbaik dan memastikan 50 pakej pelancongan akan dirangka dapat memenuhi kehendak pelancong.

"Kerajaan negeri tidak lagi melihat skop pelancongan secara kecil dan sempit kerana dunia globalisasi tanpa sempadan, sektor pelancongan kini sentiasa berhubung kait dengan trend perubahan dunia setiap hari.

"Sebagai pemain industri pelancongan, perlu bersifat dinamik, lebih sensitif akan perubahan pantas ini dan berpandangan jauh ke hadapan.

"Malah, perlu sentiasa melakukan transformasi, terutamanya dalam era yang teknologi canggih dan berkembang maju setiap saat.

"Kita mampu menukar model dan mekanisme perniagaan seiring dengan peredaran zaman sebagai contoh menubuhkan konsortium bagi memberi fokus kepada pasaran yang berlainan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wisma MATTA Johor Chapter yang diadakan di Jalan Adda Utama, Taman Adda Heights, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MATTA Kebangsaan, Datuk Tan Kok Liang, Pengerusi MATTA Johor Chapter, Kathryn Lee Hwee Ching dan Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail.

Siew Kiong berkata, perangkaan Tourism Malaysia juga menunjukkan Johor berada di kedudukan ketiga bagi kemasukan pelancong asing dengan jumlah 2.6 juta pelancong antarabangsa daripada 10 juta pelancong melawat Johor pada 2016, berbanding 3.9 juta pelancong pada 2012.

"Lakukan transformasi itu seiring dengan pemikiran dan cita-cita besar dalam gagasan Johor Berkemajuan," katanya.

Berita Harian X