Jumaat, 12 Januari 2018 | 1:47pm
ZULKHAIRI Zainol Abidin.- Foto Mohd Rafi Mamat

JKM Pahang pantau operasi TASKA

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang akan memantau operasi pengasuh kanak-kanak di negeri ini bagi mengesan mereka yang tidak berdaftar sebagai Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA).

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya mendapat maklumat masih ramai individu yang menjalankan perkhidmatan menjaga kanak-kanak tanpa berdaftar sebagai Taska seperti diwajibkan Akta TASKA 1984 jika sesebuah rumah ada menjaga kurang 10 kanak-kanak.

Katanya, kebanyakan membabitkan pengasuh yang menjaga anak jiran dan maklumat berkenaan diperoleh menerusi kerjasama Persatuan Pengasuh Pahang yang terdiri daripada pengusaha TASKA dan Rukun Tetangga.

"Kita mengambil serius perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan kanak-kanak dan kualiti penjagaan meliputi pelbagai aspek, kita mahu mereka berdaftar dengan JKM supaya pemantauan mudah dilaksanakan.

"Kejadian bayi berusia 13 bulan meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh baru-baru ini tidak patut berulang lagi. Ibu bapa kehilangan anak dan menanggung kesedihan," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Rabu lalu, bayi berusia 13 bulan, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang.

Ahnaf Hanafi dihantar ibu bapanya, Rushidah Abdullah, 30, dan Mohd Haniff Selaman @ Sulaiman, 28 ke rumah pengasuh pada jam 8.10 pagi sebelum pengasuh dikenali sebagai Alya menghubungi pada jam 2.30 petang memberitahu bayi itu berada di klinik kesihatan serta tidak sedarkan diri.

Siasatan JKM mendapati pengasuh itu tidak berdaftar dengan JKM seperti diwajibkan dan dia menjaga empat kanak-kanak termasuk Ahnaf Hanafi.

Mengulas lanjut, Zuklhairi berkata, pengasuh boleh mendaftar dengan JKM di pejabat berhampiran antara diperlukan adalah pelan lantai, program didikan serta pemakanan.

"Mereka juga perlu mendapat kursus asuhan kanak-kanak dan berdaftar dengan JKM supaya mudah pemantauan untuk memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan kanak-kanak terjamin.

"Mengikut Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 pesalah boleh denda RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memeriksa status pengasuh anak-anak mereka sama ada ia berdaftar dengan JKM atau sebaliknya.

40 dibaca
Berita Harian X