Rabu, 10 Januari 2018 | 10:31am
PEMBAYAR cukai taksiran terawal menerima cawan eksklusif edisi khas - Foto ihsan MDKS.

Bayar cukai awal dapat cawan

SHAH ALAM: Pemilik hartanah di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berpeluang menperolehi cawan edisi khas apabila mereka menjadi pembayar cukai taksiran terawal bagi 2018.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunannya, Mohamad Yusli Askandar, dalam satu kenyataan media, berkata cawan mesra alam itu yang diperbuat daripada sekam gandum diberi percuma bagi menghargai komitmen dan tanggungjawab pembayar cukai yang melunaskan cukai taksiran.

"Ini usaha MDKS yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan ancaman plastik dan polistirena terhadap kesihatan masyarakat, alam sekitar dan hidupan liar.

"Bahan yang digunakan ini mengambil masa yang singkat untuk terurai, lebih mudah untuk kitar semula dan tidak bertoksik.

"Orang ramai digesa untuk merebut peluang melalui pembayaran penuh cukai taksiran bagi 2018 dan pemberian hadiah ini berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat," katanya.

Beliau berkata, bil bagi taksiran Januari hingga Jun 2018 sudah dikeluarkan dan orang ramai diminta untuk membuat semakan dan bayaran sebelum 28 Februari ini bagi mengelakkan dikenakan Fi Notis (Denda Lewat).

Katanya, pemilik harta juga dinasihatkan membawa bil lama atau dokumen hartanah jika tidak menerima bil semasa untuk pembayaran.

"Pembayaran cukai taksiran ini sangat penting kerana hasil kutipan itu akan dipulangkan semula kepada pembayar melalui perkhidmatan seperti kutipan sampah domestik dan pembersihan awam, penyelenggaraan infrastruktur jalan, lampu jalan dan longkang.

"Dalam masa sama, ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan MDKS kepada warga daerah Kuala Selangor dalam menyediakan persekitaran perbandaran yang kondusif bagi pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan sejarah dan kehidupan berkualiti," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X