Selasa, 9 Januari 2018 | 11:59am
Anggota Angkatan Pertahanan Awam daerah Baling berjaya menangkap dua ekor ular tedung selar di Kampung Batu 48, Bongor. - Foto ihsan APM

APM tangkap 2 tedung selar mengawan

BALING: Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini, menjadi tumpuan apabila orang ramai berhimpun untuk melihat sepasang tedung selar yang baru ditangkap awal pagi tadi.

Pasangan tedung selar yang dikatakan sedang mengawan itu ditangkap APM kira-kira jam 1 pagi tadi, di Kampung Batu 48, dekat Bongor selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung, Yahya Ahmad, 62.

Difahamkan APM Baling sepanjang minggu ini sudah menangkap lima tedung selar termasuk dua tedung selar yang sedang mengawan itu.

Berdasarkan maklumat, tedung selar sepanjang kira-kira empat meter itu ditemui Yahya ketika sedang membersih halaman rumah pada waktu petang.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam daerah Baling berjaya menangkap dua ekor ular tedung selar di Kampung Batu 48, Bongor. - Foto ihsan APM

"Saya ternampak kelibat dua ekor ular bawah longgokan plastik dipercayai sedang mengawan. Saya mengambil kayu untuk menghalau ular itu dan terkejut apabila seekor daripadanya tiba-tiba mengangkat kepala seakan-akan berdiri sehingga satu meter.    

"Saya beredar kerana bimbang ular itu menyerang dan terus menghubungi APM," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Baling, Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihaknya menghantar empat anggota ke lokasi dan mencari ular berkenaan tetapi gagal ditemui, sehingga dihubungi semula penduduk kira-kira jam 12 malam sejurus ternampak ular itu keluar dari longgokan plastik.

"Kami mengambil masa kira-kira satu jam untuk menangkap dua tedung selar itu," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila terserempak ular berbisa dan segera menghubungi APM di talian 04-4701626 atau 999.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam daerah Baling berjaya menangkap dua ekor ular tedung selar di Kampung Batu 48, Bongor. - Foto ihsan APM

Berita Harian X