Jumaat, 5 Januari 2018 | 4:33pm
PASUKAN Penyelamat menenemui mayat mangsa serangan buaya 1.5 kilometer dari lokasi dia dibaham sang bedal berhampiran Kampung Buda, Debak. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Azan, bacaan Yasin beri petunjuk

BETONG: Laungan azan dan bacaan Yasin seolah-oleh memberi `petunjuk' dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak, Mohamad Haikal Abang Suip, 12, yang hilang di Sungai Dit, Debak di sini sejak dua hari lalu dikhuatiri dibaham buaya.

Datuk mangsa, Mohamad Hamid, 78, berkata sejurus azan dilaungkan dan bacaan Yasin penduduk kampung, beliau dimaklumkan mengenai penemuan mayat cucu oleh pasukan penyelamat, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang ketika memancing, Rabu lalu.

"Mayat Haikal ditemui kira-kira jam 10.45 pagi tadi. Syukur, sekurang-kurangnya jenazah arwah dapat ditemui dan dikebumikan.

"Kami reda dengan apa yang berlaku. Semuanya ketentuan Allah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Abang Mohamad Haikal memancing di tebing sungai bersama beberapa rakannya tidak jauh dari kawasan kampung mereka sebelum muncul seekor buaya dewasa dan menyambar mangsa.

Terkejut dengan kejadian itu, rakan mangsa bergegas memaklumkan penduduk kampung bagi mendapatkan bantuan menyelamatkan mangsa sebelum operasi SAR dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Mohamad berkata, sejak malam Rabu keluarganya bersama penduduk kampung mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat agar operasi SAR cucu bongsunya itu dipermudahkan sehingga jasadnya ditemui.

"Keseluruhannya, 20 perahu digunakan bagi membantu pasukan penyelamat, keluarga terharu dengan kerjasama penduduk setempat.

"Kita bergerak menyusuri Sungai Dit hingga ke Pekan Debak, sehingga pasukan penyelamat menemui jasadnya berhampiran kawasan tanjung berhampiran Kampung Buda," katanya.

Beliau berkata, jenazah cucunya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Dit.

Walaupun jasad cucunya itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna, namun mereka sekeluarga bersyukur kerana kematiannya `bertanda'.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata operasi SAR yang dimulakan seawal jam 8 pagi kelmarin bertumpu di kawasan radius tiga kilometer di sepanjang sungai berkenaan.

Katanya, operasi itu turut disertai penduduk kampung yang memahami selok-belok sungai berkenaan, termasuk beberapa lokasi dikenal pasti sebagai lubuk buaya.

"Mayat Haikal ditemui kira-kira jam 10.45 pagi di kawasan tanjung berhampiran Kampung Buda. Mayat mangsa kemudian di Unit Kesihatan Debak sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk dikebumikan," katanya.  

 

Berita Harian X