Khamis, 4 Januari 2018 | 3:44pm

Polis Sarawak tumpaskan sindiket Ecstasy, Erimin

KUCHING: Penahanan dua pelajar kolej bersama sejumlah besar pil khayal pelbagai jenis, termasuk Ecstasy, memperlihatkan perubahan modus operandi digunakan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Latif, berkata kedua-dua suspek berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Stutong, di sini jam 2.30 petang kelmarin, bertindak atas maklumat risikan.

"Dua suspek berkenaan ditahan dalam bilik utama di tingkat atas rumah dua tingkat itu. Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui satu bekas plastik mengandungi pelbagai jenis pil khayal yang sudah siap dibungkus dan dipercayai sedang dalam proses untuk diedarkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, antara dirampas termasuk empat paket plastik lutsinar berisi pil khayal, dengan kebanyakannya jenis Ecstasy seberat 114 gram, selain 28 paket yang setiap satunya mengandungi 10 biji pil Eramin 5 seberat 79.50 gram.

"Turut dirampas enam paket plastik campuran ekstrak jus buah-buahan mengandungi serbuk Ecstacy seberat 162 gram bersama satu bungkusan plastik mengandungi 11 paket kecil berisi hablur Ketamin seberat 18.8 gram," katanya.

Berdasarkan penemuan dadah berkenaan yang keseluruhannya bernilai RM37,440, polis tidak menolak kemungkinan rumah berkenaan dijadikan pusat pembungkusan semula bahan terlarang itu, khusus bagi edaran di bandar raya ini dan kawasan sekitarnya.

Sahar berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun ini kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita sedang mengenalpasti dari mana kedua-dua suspek memperoleh bekalan dadah dan rangkaian pengedaran mereka di negeri ini. Hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya terbabit dalam kegiatan ini sejak pertengahan tahun lalu.

"Malah, kedua-dua suspek turut mengaku terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah jenis ketamin," katanya sambil mengesahkan semakan rekod mendapati pelajar berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Kelisa dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha R2 dalam serbuan berkenaan, selain wang tunai RM1,208 dipercayai hasil urus niaga haram itu.

Berita Harian X