Rabu, 3 Januari 2018 | 9:28am
Mangsa banjir di Dungun dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), pagi ini. - Foto ihsan JKM

Banjir: Lima laluan tutup di tiga daerah

CHUKAI: Lima laluan di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu ditutup kepada semua kenderaan pagi ini, akibat dinaiki air setinggi lebih dua meter.

Di Kemaman, dua laluan ditutup kepada semua kenderaan, manakala empat lagi laluan di daerah sama ditutup pada kenderaan ringan, akibat dinaiki air sehingga setinggi lebih dua meter, pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, Jambatan Teladas Kampung Air Putih dan Jalan Kampung Tempurung-Pasir Minar ditutup pada semua kenderaan kerana ditenggelami banjir setinggi lebih dua meter.

Dalam pada itu Jalan Batu 10, Jalan Sungai Pinang, Jalan Pasir Gajah-Kampung Laut dan Jalan Kampung Paman ditutup pada kenderaan ringan kerana air naik sehingga 0.5m.


Mangsa banjir di Dungun dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), pagi ini. - Foto ihsan JKM

Di Dungun, Jalan Tepus-Kuala Jengai di Kampung Minda dan Jalan Tepus-Kuala Jengai di Pasir Panjang ditutup pada semua kenderaan.

Di Hulu Terengganu, Jalan Bukit Diman-FELDA Tersat ditutup pada semua kenderaan, manakala Jalan Batu 24-Pengkalan Ajal ditutup pada kenderaan ringan.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di dua daerah, Kemaman dan Dungun, tidak banyak berubah apabila seramai 333 mangsa daripada 110 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 343 mangsa daripada 114 keluarga di lima PPS malam tadi.

Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di daerah Kemaman dan Dungun menjadikan jumlah keseluruhan tujuh PPS beroperasi ketika ini.

Mangsa paling ramai ialah di Dungun iaitu 256 orang (93 keluarga di tiga PPS) manakala di Kemaman 77 mangsa (17 keluarga di empat PPS).

Di Dungun, jumlah mangsa yang berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal tidak berubah iaitu 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja pula, jumlah mangsa kekal 77 orang (31 keluarga).

PPS yang baharu dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Minda Talong kini menempatkan empat sekeluarga.

Di Kemaman pula, Dewan Orang Ramai Teladas menempatkan 24 mangsa (empat keluarga), Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 orang - lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (23 orang - empat keluarga) manakala PPS yang baru dibuka iaitu di Kampung Pasir Gajah menempatkan 12 mangsa (empat keluarga).

Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.gov.my melaporkan tiga stesen merekodkan bacaan sungai melebihi paras amaran.

Sungai Dungun di Kuala Jengai berada pada paras 20.95 meter (m) melebihi paras amaran 20m; Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja 36.58m/36.50m dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak (17.90m/17.80m).

Berita Harian X