Isnin, 1 Januari 2018 | 1:52pm

Periksa semua struktur kemudahan awam: MB Terengganu

KUALA NERUS: Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memeriksa semua struktur bangunan dan kemudahan awam di bandar raya ini, susulan insiden bumbung laluan pejalan kaki di Jalan Daik, di sini, runtuh, malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penelitian terperinci perlu dibuat bagi memastikan semua kemudahan disediakan berada dalam keadaan selamat, kukuh dan tidak membahayakan pengguna, terutama ketika musim tengkujuh kini.

"Kita sedang menunggu laporan lengkap daripada MBKT bagi mengenal pasti punca berlakunya masalah itu.

"Sebaik puncanya dikenal pasti, kita akan lakukan tindakan seterusnya sama ada ia disebabkan oleh reka bentuk yang tidak sesuai, kecuaian manusia atau bencana akibat angin kuat malam tadi," katanya selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal (SK T'jemS) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung laluan pejalan kaki di Jalan Daik, dekat Pasar Besar Kedai Payang, di sini, runtuh malam tadi, selepas dipukul angin kencang.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

"Kita mahu kemudahan yang disediakan kepada rakyat dalam keadaan selamat. Oleh itu, semua aspek keselamatan akan dilihat semula bagi menjamin keselamatan pengguna," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh yang melawat lokasi kejadian berkata, pihaknya sudah meminta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menentukan pembinaan pejalan kaki dan bumbung sejauh kira-kira 400 meter itu menepati spesifikasi dan piawaian atau sebaliknya. 

Sementara menunggu keputusan hasil siasatan CIDB itu, laluan pejalan kaki di berkenaan yang dibina dalam tiga fasa pada 2015 membabitkan peruntukan sebanyak RM600,000, ditutup buat sementara.

"Kontraktor dan pegawai teknikal serta mereka yang terbabit menyediakan pelan dan reka bentuk bumbung itu akan dipanggil untuk mengemukakan laporan. 

"Walaupun punca bumbung laluan pejalan kaki itu runtuh disebabkan angin kuat, tetapi siasatan menyeluruh termasuk kekukuhan struktur pembinaan perlu dilakukan," katanya.

Samiun berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden runtuhan bumbung pejalan kaki yang dibina melalui Program Bandar Selamat MBKT itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, (dua dari kiri) menyambut pengunjung ke negeri Terengganu dengan menyampaikan cenderahati di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. - Foto Rozainah Zakaria
Berita Harian X