Ahad, 31 Disember 2017 | 3:48pm
WARGA emas Lee Chin Lan, 68, hidup dalam kedaifan dengan menampung hidup hasil menjual barangan terpakai di Taman Sri Kurau, Bercham. - Foto Effendy Rashid
WARGA emas Lee Chin Lan,68, (tiga kanan) memindahkan barang terpakai dan kitar semula miliknya ke dalam lori sambil dibantu Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Aldrich Low Guo Nan (dua kanan) di kediamannya di Taman Sri Kurau, Bercham. - Foto Balqis Jazimah Zahari

"Janji tak kumpul barang banyak-banyak lagi"

IPOH: Sebanyak 266 kilogram (kg) barang terpakai berjaya dikutip dan dipindahkan daripada kediaman seorang warga emas di Taman Sri Kurau, Bercham di sini, hari ini.

Barang itu yang 'menimbun' di dalam rumah Lee Chin Lan, 68, atau lebih mesra dengan panggilan Ah Mooi, dipindahkan menerusi program gotong-royong beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula jam 11 pagi tadi.

BH dan beberapa media termasuk media sosial sebelum ini melaporkan Ah Mooi yang hampir 40 tahun ditinggalkan suami, hidup dalam kedaifan dan menyara hidup melalui hasil menjual barang terpakai.

Bagaimanapun, tindakannya mengumpul terlalu banyak barang terpakai di dalam dan persekitaran rumah mengakibatkan premis didudukinya, ibarat tempat pembuangan sampah.

Program gotong-royong itu dilakukan 30 sukarelawan daripada beberapa NGO seperti Ipoh City Watch, Lion Club of Silverstate, KoHijau, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Bercham dan pasukan Kawasan Rukun Tetangga.

Ah Mooi berkata, dia berasa terharu dengan keprihatinan semua pihak yang berusaha membantunya membersihkan rumahnya.

"Saya gembira dan terima kasih kepada ramai yang datang membantu saya membersihkan rumah hari ini.

"Saya janji dah tak kumpul barang terpakai banyak-banyak lagi, lepas ini," katanya yang ditemui selepas gotong-royong itu.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Aldrich Low Guo Nan, berkata tindakan mengutip barang terpakai dilakukan selepas mendapat maklumat mengenai kedaifan Ah Mooi dan disiarkan di beberapa akhbar tempatan.

"MBI menerima maklum balas daripada banyak pihak yang mahu membantu menyalurkan sumbangan kewangan dan makanan, malah ada yang mahu memberi perabot.

"Hari ini, separuh barang terpakai berjaya dipindahkan dan kita merancang untuk datang buat kali kedua bagi membersihkan secara keseluruhan rumah ini," katanya.

Pengerusi KoHijau, Prof Dr Richard Ng, pula berkata hasil barang terpakai dan kitar semula yang berjaya dikumpulkan hari ini ialah RM152 dan diserahkan kepada Ah Mooi.

"Kami bersedia membantu Ah Mooi untuk mengutip semua dan tidak mengehadkan apa sahaja jenis barang terpakai yang boleh dikitar semula," katanya yang turut memberi sumbangan peribadi RM100 untuk pembelian barang kitar semula itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan Ah Mooi hanya makan sayur-sayuran seperti pucuk ubi keledek yang ditanam sendiri, dua kali sehari tanpa nasi kerana tidak mampu membeli beras.

Laporan itu turut menyatakan Ah Mooi mempunyai seorang anak perempuan berusia 43 tahun, namun anak tunggalnya itu menghadapi masalah mental dan dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan sejak 16 tahun lalu.

21 dibaca
Berita Harian X