Ahad, 31 Disember 2017 | 3:24pm
KETUA Pegawai Eksekutif LZNK, Sheikh Zakaria Othman. - Foto Sharul Hafiz Zam

LZNK biayai 62 pelajar asnaf

ALOR SETAR: Seramai 62 pelajar dalam kategori asnaf berpeluang melanjutkan pengajian di Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim, dengan kos pendidikan masing-masing dibiayai sepenuhnya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Semua pelajar daripada keluarga miskin dan asnaf dari seluruh Kedah, mendaftar masuk ke Tingkatan Satu untuk sesi pengajian 2018 yang akan bermula esok, selepas masing-masing melalui sesi temuduga yang diadakan LZNK awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Sheikh Zakaria Othman, berkata pihaknya menyediakan peruntukan khusus membiayai pelajar terbabit dengan memanfaatkan sebahagian daripada peruntukan pembangunan pendidikan LZNK 2018 disediakan berjumlah RM38.7 juta.

"Seramai 20 tenaga pengajar dilantik LZNK mengajar pelajar ini di bangunan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) buat sementara waktu, berikutan bangunan Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti, dekat sini, hanya akan beroperasi sepenuhnya Jun depan.

"Kontraktor sedang menyiapkan pelbagai kelengkapan dan bekalan elektrik untuk memberi keselesaan kepada pelajar ini," katanya selepas Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim di KUIN, di sini, hari ini.

Zakaria berkata, seramai 180 pelajar asal Maahad berkenaan akan turut dibiayai LZNK dan ditempatkan di KUIN buat sementara waktu.

"Sebelum ini, Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim beroperasi di Maktab Mahmood yang diselia Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah.

"Jadi pada 2018 kita mengambil alih Maahad ini termasuk menambah pengambilan pelajar baharu.

"Sekiranya masih terdapat kekosongan, LZNK akan mempertimbangkan menambah pelajar sejajar usaha melahirkan generasi berilmu dan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan," katanya.

Pelajar, Umi Najihah Suhaimi, 13, dari Kampung Pokok Tai di Pendang, berkata dia akan menggunakan peluang itu sebaiknya untuk mengubah masa depan keluarganya.

"Bapa saya hanya pemandu lori pasir dan pendapatannya tidak menentu iaitu kira-kira RM800 sebulan. Empat lagi adik-beradik sbersekolah dan saya sangat bersyukur dipilih untuk belajar di sini dan dibiayai LZNK sehingga saya tamat belajar," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Pelajar, Adnin Muhaidi Ahmad Badri, 13, berjanji belajar bersungguh-sungguh agar hasratnya menjadi pensyarah tercapai.

Anak pesawah ini, berkata dia akan menunaikan tanggungjawab membayar zakat agar nasib anak fakir dan miskin terus dibela seperti pembiayaan yang diperoleh daripada LZNK.

Berita Harian X