Sabtu, 30 Disember 2017 | 5:01pm
JAMBATAN Sultan Yusuf menghubungkan Teluk Intan dan Sitiawan, yang ditutup sejak 11 Ogos lalu untuk penyelenggaraan, akan dibuka kepada semua kenderaan ringan bermula esok.- Ravale savarinathan

Jambatan Sultan Yusuf dibuka kembali mulai esok

SITIAWAN: Jambatan Sultan Yusuf menghubungkan Teluk Intan dan Sitiawan, yang ditutup sejak 11 Ogos lalu untuk penyelenggaraan, akan dibuka kepada semua kenderaan ringan bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata jambatan itu dibuka kepada kenderaan ringan dengan ketinggian maksimum 2.5 meter sahaja.

Katanya, kenderaan berat masih tidak dibenarkan untuk menggunakan jambatan terbabit dan perlu mengikut laluan alternatif seperti sebelum ini.

"Sepanjang tempoh pembukaan kepada kenderaan ringan, pihak Jabatan Kerja Raya akan buat pemantauan rapi demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Papan tanda jalan alternatif juga sudah diletakkan bermula dari Taman Desa Aman (Teluk Intan) manakala dari Sitiawan akan diletakkan di persimpangan Felda Changkat Lada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainol Fadzi berkata, pengguna diminta terus bersabar dan mematuhi papan tanda arah yang disediakan di semua laluan berkenaan.

Jambatan itu sebelum ini ditutup selepas JKR mendapati berlakunya kerosakan pada struktur jambatan itu yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

23 dibaca
Berita Harian X