Sabtu, 30 Disember 2017 | 2:06pm
PENGERUSI Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (tengah) bergambar bersama dengan penduduk yang menerima dokumen Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pemilikan tanah pada majlis penyerahan LPS di Surau Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat. - Foto Hamzah Osman

Penduduk dapat hak milik tanah

LANGKAWI: Penantian kira-kira 20 tahun penduduk Kampung Huma di mukim Ayer Hangat, di sini, untuk mendapatkan hak milik tanah, berakhir apabila mereka menerima dokumen Lesen Pendudukan Sementara (LPS) hari ini.

Dokumen pemilikan tanah yang diterokai sekian lama itu diterima 68 keluarga, pada majlis khas berlangsung di surau kampung itu.

Penyerahan LPS disempurnakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Penduduk, Khatijah Ibrahim, 70, berkata dia dan arwah suaminya, Ishak Hanafi, berusaha memohon untuk mendapatkan geran hak milik tapak kediamannya itu sejak 1997 dan kerap turun naik pejabat kerajaan bagi mendapatkan geran.

"Suami makcik meninggal dunia lapan tahun lalu akibat barah usus tanpa sempat melihat geran hak milik. Hari ini makcik gembira dan terharu kerana dapat pegang sehelai kertas yang memberi hak ke atas tanah hasil usaha kami," katanya selepas majlis penyerahan LPS.

Rakannya, Daharah Arop, 66, turut bersyukur kerana penantian lebih 20 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah yang diusahakannya bersama-sama suami, Abd Bakar Mahmud, 67, akhirnya menemui penghujung.

"Dengan adanya surat pemilikan tanah ini, mudah bagi mak cik yang sudah berusia ini untuk menyerahkan pula kepada anak-anak bagi membina rumah atau menanam pokok.

"Memang lega rasa hati kerana tanah yang diterokai dalam serba kesusahan sejak sekian lama akhirnya menjadi milik kami secara sah," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Nawawi berkata kerajaan sentiasa menghargai kerja kuat serta kesabaran penduduk dalam usaha mereka untuk membangunkan kediaman untuk dihuni keluarga masing-masing.

"Penyerahan LPS ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat di pulau ini dan usaha itu akan diteruskan kepada sejumlah penduduk lain yang masih menanti.

"Kejayaan (memberi surat hak milik tanah) membabitkan banyak pihak terutama Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Pejabat Daerah Langkawi, selain pemimpin tempatan, sekali gus membuktikan kerajaan tidak membuat janji kosong," katanya.

Nawawi berkata, dalam tempoh tiga tahun lalu sebanyak 268 penduduk yang juga peneroka tanah sekitar daerah ini termasuk di Pulau Tuba, Kuah dan Ayer Hangat sudah menerima LPS selepas mereka mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Berita Harian X