Jumaat, 29 Disember 2017 | 3:27pm

Kaunter PKZ Pahang dibuka hingga Ahad

KUANTAN: Sebanyak 13 pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dibuka sehingga Ahad ini, bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran zakat harta.

Pengurus Besar Kanan PKZ negeri, Datuk Halidan Md Daud, berkata waktu operasi semua pejabat itu bermula jam 8.15 pagi hingga 6 petang, manakala di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan pula, dari jam 8.15 pagi hingga 10 malam.

"Mereka yang layak menunaikan Rukun Islam itu juga boleh membuat bayaran atas talian di institusi kewangan terpilih.

"Selain itu, bayaran boleh dibuat di 42 cawangan pejabat Pos Malaysia Berhad dan melalui portal MyEg bagi memudahkan orang ramai.

"Semua pembayaran zakat dibuat sebelum 31 Disember ini akan mendapat rebat cukai pendapatan peribadi untuk tahun taksiran 2017 seperti termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat 27 Disember lalu, seramai 81,085 pembayar zakat harta sudah menunaikan tanggung jawab mereka dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM115.9 juta.

Katanya, jumlah kutipan dan pembayar zakat itu meningkat daripada 77,696 pembayar dengan kutipan RM99.5 juta tahun lalu.

"Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat ialah zakat perniagaan sebanyak RM43 juta, dan diikuti potongan gaji sebanyak RM42.3juta.

"Bagi zakat wang simpanan pula, PKZ Pahang mengutip sebanyak RM13.7 juta," katanya.

Berita Harian X