Khamis, 28 Disember 2017 | 1:00pm

MAIK peroleh kutipan zakat RM170.89 juta

KOTA BHARU: Kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada tahun ini sehingga semalam, adalah sebanyak RM170.89 juta.

Setiausaha MAIK, Rusydee Abdullah, berkata kutipan zakat pada tahun ini mengatasi tahun lalu yang memperoleh sebanyak RM162 juta.

"Berdasarkan rekod, kutipan zakat sehingga 27 Disember 2017 adalah sebanyak RM170,890,321 dan ia berjaya mengatasi kutipan zakat pada tahun lalu sebanyak RM162 juta.

"Promosi yang meluas termasuk melalui media massa selain keyakinan masyarakat terhadap agihan zakat antara faktor yang mendorong peningkatan kutipan zakat oleh MAIK setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek zakat perniagaan daripada Government Integrated Telecommunication Network (GITN) Sdn Berhad berjumlah RM93,333.33 di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, MAIK di Kompleks Islam Lundang di sini, hari ini.

Majlis penyerahan cek zakat perniagaan daripada GITN kepada MAIK itu diserahkan oleh Pengurus Korporat dan Pengurusan Perkhidmatan GITN, Mohd Kamal Arifffin Bunyamin.

Rusydee berkata, MAIK menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM175 juta pada tahun ini dan pihaknya berharap ia mampu dicapai bagi tempoh tiga hari yang terakhir ini.

Katanya, penyediaan kaunter bayaran zakat di MAIK dan di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kelantan memberi banyak kemudahan kepada pembayar zakat termasuk syarikat korporat.

Selain itu katanya, pembayaran zakat pendapatan melalui potongan gaji membabitkan lebih 20,000 orang kakitangan sektor awam dan swasta turut menyumbang kepada peningkatan kutipan berkenaan.

Sementara itu Mohd Kamal Ariffin berkata, GITN membayar zakat perniagaan sebanyak RM1.4 juta di 14 negeri dan sebuah universiti bagi tahun ini.

Berita Harian X