Selasa, 26 Disember 2017 | 12:08pm
KRU bot pancing yang dilaporkan karam di perairan berhampiran Pulau Labuan selamat tiba di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan
TEKONG bot, Husni Kamsi, 48, menerangkan sesuatu kepada dua pegawai Maritim Malaysia Kota Kinabalu selepas tiba di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan

7 pemancing selamat, operasi SAR tamat

KOTA KINABALU: Tujuh pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dikatakan karam di perairan berhampiran Pulau Labuan sejak kelmarin, disahkan selamat.

Difahamkan, ketika kejadian awal pagi kelmarin, bot pancing itu sudah separuh karam akibat dipukul ombak besar namun tindakan tekong, Husni Kamsi, 48, bersama kru mengikat tong kosong di sekeliling bot dapat mengelak ia daripada terus karam.

Selepas bot dapat ditimbulkan sepenuhnya, semua mangsa berumur 15 hingga 54 tahun meneruskan perjalanan ke Pulau Gaya dan tiba pada jam 7 malam walaupun dalam keadaan lemah dan keletihan.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot pancing memaklumkan semua kru bersama bot miliknya yang dilaporkan karam selamat tiba di Pulau Gaya di sini, malam tadi.

"Berikutan itu, operasi SAR membabitkan sektor pencarian seluas 875 batu nautika ditamatkan pada jam 8.30 malam tadi.

"Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Syarikat Total E & P Malaysia atas bantuan aset untuk operasi SAR ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kelmarin, berdasarkan maklumat lima pemancing lain, bot pemancing dinaiki tujuh mangsa itu dilaporkan karam di kedudukan kira-kira 97 batu nautika dari barat laut Labuan atau 117 batu nautika dari barat laut Kota Kinabalu.

Susulan itu, operasi SAR dilancarkan dengan Maritim Malaysia menggerakkan Kapal Maritim (KM) Bistari, selain Kapal Diraja (KD) Jerung milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kapal MV Executive Balance daripada Syarikat Total E & P Malaysia.

Sebelum itu, lima mangsa berumur 19 hingga 31 tahun yang menaiki lima sampan kecil diselamatkan kapal MV Executive Balance selepas cuba merapat di sisi kapal berkenaan bagi mendapatkan perlindungan berikutan cuaca buruk pada jam 11 pagi kelmarin.

Lima mangsa terbabit sebelum itu keluar dari bot induk mereka dengan menaiki sampan untuk memancing berhampiran pelantar minyak dan mereka melaporkan melihat sebuah bot pancing lain hampir karam akibat ombak besar.

Berita Harian X