Ahad, 24 Disember 2017 | 8:35pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (tiga kanan) melawat pameran kereta selepas majlis perasmian Program Pameran Kereta dan Pameran Kucing di RTC Perak 2017 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. - Foto L. Manimaran

20,000 serbu Autofest RTC Perak 2017

GOPENG: Lebih 20,000 pengunjung menyerbu program Autofest RTC Perak 2017 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini. 

Program selama dua hari berakhir hari ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Cakna Ekonomi Anak Perak, Perak Darul Ridzuan Cat Team serta kumpulan Autoshow Perak. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata program menghimpun peminat daripada pelbagai elemen di bawah satu bumbung itu bertujuan menarik pengunjung. 

Katanya, program membabitkan penyertaan seluruh negara itu berjaya mengumpulkan lebih 140 buah kereta berhias, 150 motosikal berhias, 301 jenis jam G-Shock dan lebih 1,000 koleksi Hot Wheels dan 50 kucing pelbagai baka.   

"Kita yakin program ini menarik minat pengunjung untuk datang ke negeri ini dan memberi impak yang baik kepada pertumbuhan negeri. 

"Ia adalah satu program yang unik menggabungkan pelbagai elemen dan akan menjadikan ia sebagai acara tahunan," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di perkarangan RTC Perak di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengarah FAMA Perak, Basri Jasmo.  

Nolee Ashilin berkata, program itu turut membuka 40 gerai pameran My Best Buy yang menjual pelbagai produk industri asas tani serta menu makanan popular seperti kelapa leleh Kampar, Laksa Telur Bersarang Botani dan kerepek daun kaduk.

Berita Harian X