Ahad, 24 Disember 2017 | 6:18pm
PEGAWAI Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman (tengah) bersama Presiden GM1M Pasir Gudang, Mohd Farihin Hassan (tiga dari kiri) bergambar dengan penerima bantuan persekolahan ketika Program Kembali ke Sekolah 2018 di Bizpark@Tiram, Ulu Tiram. - Foto Nurul Amanian Suhaini

Kaji garis panduan tangani disiplin: GM1M

JOHOR BAHRU: Persatuan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) daerah Pasir Gudang meminta Kementerian Pendidikan mengkaji pendekatan dan garis panduan yang sesuai kepada guru terutama bagi menghadapi pelajar bermasalah.

Presidennya, Mohd Farihin Hassan, berkata terdapat keperluan terhadap tindakan itu bagi memantau pergerakan pelajar sekolah, selain mencari pendekatan atau kaedah sewajarnya yang memihak kepada guru apabila berurusan dengan pelajar yang tidak terkawal dan melanggar disiplin di sekolah.

"Susulan insiden Cikgu Azizan yang didakwa menampar seorang pelajar kerana melakukan kesalahan disiplin berat berulang secara tidak langsung memperlihatkan bidang pengajaran menjadi lebih mencabar bagi guru apabila mereka perlu menangani pelajar yang tidak menghormati pihak sekolah termasuk tidak mematuhi peraturan sekolah, selain bersikap agresif kepada guru apabila tindakan tatatertib dikuatkuasakan.

"Terdapat keperluan bagi menyediakan langkah yang memihak kepada guru, malah tanpa langkah betul yang dapat melindungi guru apabila hukuman keras dan tindakan disiplin dikenakan ke atas pelajar, secara tidak langsung guru akan kehilangan keyakinan mereka membetulkan kesalahan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kembali ke Sekolah yang disempurnakan oleh Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Abdul Halim Suleiman di Bizpark Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Usahawan merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Rohsawalnizam Abdul Ghafar.

Pada program itu, seramai 350 murid di kawasan Parlimen Tebrau dan Pasir Gudang menerima bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa golongan berpendapatan rendah atau B40.

Program Kembali ke Sekolah itu adalah anjuran GM1M Pasir Gudang bersama Biro Usahawan yang menyediakan set kelengkapan sekolah termasuk beg sekolah dan keperluan alat tulis sebagai persiapan menjelang sesi persekolahan tahun depan.

Abdul Halim dalam ucapan perasmiannya berkata, program julung kali diadakan adalah sebahagian daripada usaha GM1M untuk membantu golongan berpendapatan rendah berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, menerusi program itu dengan bantuan diberikan kepada ibu bapa terbabit berdasarkan kelayakan mengikut pendapatan tanpa mengira fahaman politik.

Berita Harian X