Sabtu, 23 Disember 2017 | 11:28pm

Bomba, penduduk tangkap buaya 4.2 meter

PEKAN: Kehadiran seekor buaya tembaga di Kampung Serandu dekat sini pagi tadi menggemparkan penduduk sebelum ia berjaya ditangkap pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Ahmad Azhar Mohammed, berkata penduduk melihat kelibat buaya berukuran 4.2 meter di sekitar semak berhampiran kawasan pantai.

Katanya, kehadiran reptilia dianggarkan berusia lebih 20 tahun disedari penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kira-kira jam10 pagi tadi.

"Penduduk meminta bantuan daripada anggota bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menangkap buaya berkenaan dan kemudian diserahkan kepada PERHILITAN.

"Kita sedang memeriksa keadaan buaya berkenaan sebelum memutuskan sama ada ia akan dilepaskan di kawasan yang bersesuaian atau diletakkan di Paya Indah Wetlands, Dengkil Selangor," katanya di sini, hari ini.

Azhar berkata, orang ramai terutamanya yang yang tinggal di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berhati-hati dengan kehadiran buaya yang sering berlaku pada musim tengkujuh serta air pasang.

"Tidak mustahil ada buaya sesat dan naik ke darat, orang ramai boleh menghubungi Pejabat PERHILITAN Pahang di talian 095177733 atau pegawai berkenaan, Ahmad Ikhwan Zainuddin (0139381900)," katanya.

ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu dengan bantuan orang ramai berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 12 kaki di Pantai Air Leleh.- Foto ihsan JBPM
KEHADIRAN seekor buaya tembaga di Kampung Serandu dekat sini pagi tadi menggemparkan penduduk sebelum ia berjaya ditangkap pihak berkuasa. - Foto ihsan JBPM
KEHADIRAN reptilia dianggarkan berusia lebih 20 tahun disedari penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kira-kira jam10 pagi tadi. - Foto ihsan JBPM
Berita Harian X